Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kebakaran hutan di Gebeng cecah 60 hektar - Bomba
Diterbitkan:  Feb 27, 2019 2:58 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Kebakaran hutan di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan yang berlaku sejak petang kelmarin kini semakin merebak merangkumi kawasan seluas 60 hektar, berbanding 40 hektar semalam, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohamad.

Sehubungan itu beliau berkata pihaknya telah memohon bantuan unit udara daripada ibu pejabat JBPM bagi operasi pemadaman tersebut.

Setakat ini hanya 20 peratus daripada kawasan terbakar dapat dipadamkan, katanya ketika dihubungi, di Kuantan hari ini.

Menurutnya tumpuan sekarang ialah memastikan api tidak merebak ke Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) yang terletak kira-kira satu kilometer dari hutan tersebut.

Katanya beliau juga telah memohon untuk meminjam pam berkapasiti tinggi daripada JBPM Terengganu bagi meningkatkan keupayaan pasukannya dalam melaksanakan operasi pemadaman tersebut.

"JBPM Pahang mempunyai sebuah unit pam berkapasiti tinggi dan apabila ada dua, kita harap dapat menaikkan paras air di kawasan kebakaran menggunakan sumber air daripada dua tasik di kawasan hutan itu," katanya.

Nor Hisham berkata operasi dijalankan dalam dua syif melibatkan hampir 30 anggota bagi setiap sesi dan mereka dibantu pasukan Gebeng Emergency Mutual Aid (GEMA) yang melibatkan kilang utama di sini iaitu Kaneka Malaysia, Lynas Malaysia Sdn Bhd dan Petronas Chemical MTBE Sdn Bhd serta kilang Alliance Steel (M) Sdn Bhd.

Nor Hisham juga menasihatkan orang awam agar tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim panas yang meningkatkan risiko kebakaran.

"Kita juga berharap orang ramai khususnya golongan pemancing agar tidak membuat unggun api atau membuang puntung rokok yang masih menyala semasa memancing di tasik dalam hutan yang juga boleh menyebabkan kebakaran seperti yang berlaku di Gebeng.

"Mereka yang berhasrat membuka ladang juga dinasihatkan untuk tidak membuat pembakaran buat masa sekarang kerana perbuatan itu disyaki punca kebakaran ladang seluas empat hektar di Muadzam Shah baru-baru ini," katanya.

Nor Hisham juga berkata terdapat trend meningkat aduan kebakaran sejak minggu lalu iaitu 24 laporan pada Sabtu, Ahad (20 aduan) dan Isnin (19 laporan)

Katanya berdasarkan pengalaman lalu, pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga di kawasan berisiko iaitu di kawasan hutan di daerah Rompin, Pekan dan sepanjang laluan Pekan-Kuantan.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Pahang Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata semua sekolah di negeri itu telah diingatkan agar mengikuti prosedur operasi standard (SOP) kementerian berhubung cuaca panas termasuk lebih sensitif dalam mengadakan aktiviti di luar bilik darjah.

"Murid juga dinasihati agar mengelak daripada berada di luar terlalu lama semasa menunggu untuk pulang selepas tamat sesi persekolahan selain minum air yang banyak,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS