Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Kalau semua pekerja malam mengundi Pakatan Harapan (PH) kerana dapat tol percuma; dan semua pekerja siang pula mengundi BN kerana masih perlu membayar tol walaupun namanya bukan lagi “tol”, maka PH akan kalah teruk. Logiknya mudah, yakni orang yang bekerja siang adalah jauh lebih ramai daripada yang bekerja malam.

Orang yang bekerja siang rasanya mula cemburu dengan mereka yang bekerja malam. Bukan sahaja waktu malam lebih sejuk dari siang, tidak perlu pula membayar tol—sedangkan jalan yang dilalui untuk ke tempat kerja adalah lebuh raya yang sama.

Di saat dasar baru penjenamaan tol itu sedang dihitung oleh rakyat, terutama pengundi di Semenyih menjelang 2 Mac, kita diberitahu pula oleh menteri pembangunan usahawan yang prototaip kereta terbang akan siap tahun ini. Kereta berkenaan bukan kereta "biashe-biashe", tetapi kereta terbang!

Pertamanya, pemberitahuan itu pelik kerana datang dari mulut menteri. Kalau di Jerman, Amerika Syarikat atau Jepun misalnya yang membangun banyak teknologi automotif, rekaan atau teknologi terbaharu diumumkan oleh pemain industri. Bukan oleh pak menteri!

Elon Musk

Tidak terbayang kita, misalnya model baharu Telsa diumumkan oleh presiden Donald Trump dan bukannya oleh Elon Musk. Mungkin hanya akan jadi lawak pilu apabila model kereta elektrik Volvo yang diterokai oleh anak syarikatnya, Polestar tidak diumumkan oleh Thomas Ingenlath, tetapi oleh menteri perdagangan Sweden, Ibrahim Baylan. Volvo adalah kereta nasional Sweden.

Dalam industri automotif, orang akan tertanya-tanya, siapa dan apa kewibawaan menteri dalam industri kereta, berbanding ketua pereka Volvo, Ingenlath yang hebat itu? Beberapa tahun belakangan, nama Ingenlath melonjak kerana berjaya membangun model-model terbaharu Volvo dan Polestar yang mengagumkan serta diterima baik oleh pasaran dunia.

Teknologi yang ada pada Volvo itulah yang kemudiannya dipakai sedikit sebanyak dalam kereta Geely. Kebetulan Geely telah membeli Volvo pada 2010. Geely juga membeli 49.9 peratus saham Proton pada 2017.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad merasmikan X70 pada 12 Disember tahun lalu.

Tanpa Volvo, tidak ada model SUV Geely X7. Tanpa X7 tidak ada SUV Proton X70. Bezanya antara Geely X7 dengan Proton X70 hanya tak ada “0” pada Geely X7. Lain-lainnya, sama!

Sejak mula penubuhan Proton pada 1983, syarikat kereta nasional kita masih dilihat sebagai syarikat yang melencana semula model-model kereta luar. Dulu dari Jepun dan Perancis, sekarang dari China pula. Pelencanaan semula itu dinamakan sebagai “perkongsian platform”.

Kalau Proton Saga pernah laku keras dan menguasai 70 peratus jalan raya dalam negara, ia adalah disebabkan penjenamaan semula model daripada Misubishi. Kini model X70 yang khabarnya sudah menerima 20 ribu tempahan, ia juga adalah pelencanaan semula model Geely X7.

Melencanakan semula kereta luar

Kita semua tahu, kerja melencanakan semula tidak hanya dilakukan oleh Proton, tetapi juga oleh syarikat kereta nasional kedua, Perodua. Selain melencana semula, sesebuah model kereta akan menjadi lebih murah kalau dipasang dalam negara. Itulah kelebihannya.

Kekurangannya pula, kualiti kereta akan menjadi rendah kerana mahu mengekalkan harga yang murah. Dasar perlindungan kereta nasional juga telah menyebabkan rakyat Malaysia—termasuk pengundi di Semenyih dan Rantau—tidak dapat memiliki kereta luar yang berkualiti tetapi harganya lebih mahal. Mahal kerana cukai yang dikenakan adalah tinggi. Itu sahaja.

Dalam pengalaman melindungi dua syarikat kereta nasional inilah, kita mendengar pula cadangan melahirkan kereta ketiga. Sudah tentu dengan kelahirannya nanti, dasar perlindungan akan lebih ketat. Maknanya, kemungkinan kerajaan merendahkan duti kereta import adalah semakin sukar.

Lalu lintas di Semenyih. Gambar hiasan.

Meneliti kenyataan-kenyataan menteri pembangunan usahawan—yang kini tiba-tiba seakan sudah menjadi seorang pakar jurutera kereta—projek kereta nasional ketiga juga dengan model perniagaan “perkongsian platform”. Jangan sakit kepala kerana “perkongsian platform” hanyalah nama lain kepada tukar lencana.

Di sinilah bezanya sebuah syarikat yang berdiri dengan kaki sendiri untuk maju, dengan syarikat yang bertongkat kepada kerajaan. Lebih teruk lagi, bertongkat kepada orang politik! Apa buktinya?

Buktinya apabila menteri yang nampaknya lebih galak mahu menerangkan konsep kereta yang akan dikeluarkan sama ada boleh terbang atau boleh menyelam. Bukti lain ialah, setiap kali ada model baharu dari Proton, menteri atau perdana menteri yang datang untuk merasmikannya.

Itulah yang saya katakan di awal tulisan ini, apakah kita tidak merasa pelik kalau Trump mengumumkan model terbaru Tesla X. Lebih tidak kena kalau Trump juga merasmikannya.

Kalau kita dapat belajar dari Volvo yang berkembang pesat selepas diambil alih oleh Geely dengan menubuhkan syarikat penerokaan teknologi kereta, Polestar, kita akan segera faham bahawa sebenarnya tidak perlu pun untuk menubuhkan syarikat kereta nasional satu lagi hanya untuk membuat kereta terbang.

Bersama Geely, Volvo turut menubuhkan satu lagi syarikat usahasama lain iaitu Lynk & Co. Kalau pun ada keperluan melahirkan kereta terbang, elok syarikat itu berada bawah Proton. Ditubuhkan apabila Proton sudah buat untung hasil kerjasama dengan Geely sekarang.

Di sebalik semua semak-semak strategi perniagaan dan ketatnya persaingan dalam industri kereta, Volvo mempunyai falsafah yang jelas dan kuat sejak penubuhannya. Bagi orang Sweden, mereka mahu membuat kereta untuk kegunaan manusia. Bukan untuk memenuhi nafsu pemimpin politik.

Jadi kalau dalam pilihan raya umum akan datang mereka yang mempunyai kereta terbang mengundi PH, dan mereka yang pakai kereta biasa seperti hari ini mengundi BN; saya bimbang PH akan kalah teruk.

Lebih teruk daripada di Semenyih nanti kalau mereka yang bekerja siang mengundi BN, dan mereka yang bekerja malam mengundi PH. Keduanya, iaitu cerita kereta terbang dan “tol siang malam” itu merupakan antara jenaka yang kita tidak tahu bagaimana untuk ketawa?

Kah, kah, kah ke, atau kih kih kih ke?


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS