Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wisma Putra saran rakyat tangguh ke India, Pakistan
Diterbitkan:  Feb 27, 2019 6:23 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Malaysia hari ini meluahkan rasa bimbangnya terhadap ketegangan terbaharu di antara India dan Pakistan.

Dalam kenyataannya di Putrajaya, Wisma Putra berkata sebagai sebuah negara yang mempunyai hubungan rapat dan lama dengan kedua-dua negara, Malaysia meminta kedua-duanya agar sedaya-upaya ‘mengawal diri’ serta mengadakan semula dialog dan rundingan.

“Seperti kebanyakan negara lain, Malaysia juga mahukan satu keadaan yang aman dan stabil di peringkat antarabangsa,” demikian menurut kenyataan itu.

Susulan itu juga Wisma Putra manasihati rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan tidak perlu khususnya ke kawasan yang terkesan secara langsung dengan konflik tersebut.

Rakyat Malaysia boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia sama ada di New Delhi atau Islamabad untuk pertanyaan lanjut.

Wisma Putra berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Islamabad akan terus memantau situasi serta berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Ketegangan di antara New Delhi dan Islamabad dengan kedua-duanya merupakan kuasa nuklear, semakin memuncak sejak serangan pengganas di Pulwana, India pada 14 Feb lalu yang membunuh lebih 40 orang serta mencederakan berdozen lagi.

Menurut laporan, kumpulan militan berpangkalan di Pakistan, Jaish-e-Mohammed, mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia telah mengeluarkan amaran perjalanan membabitkan destinasi di Utara India selepas ketegangan antara India dan Pakistan memuncak.

"Kami sedang memantau keadaan di Utara India dan sebarang impak ke atas perkhidmatan kami di Amritsar dan Srinagar.

“Kami menyarankan para pelanggan untuk memantau status penerbangan mereka pada http://airasia.com/flightstatus,” kata syarikat itu melalui Twitter rasminya.

Sementara itu, Indian Airlines dilaporkan telah menghentikan perkhidmatan membabitkan bandar-bandar di Utara India seperti Amritsar, Chandigarh, Dehradum, Jammu, Leh dan Srinagar.

Associates Press juga menciap bahawa Penerbangan Awam Pakistan telah menutup ruang udara kepada kesemua penerbangan komersil berikutan ketegangan yang berlaku antara New Delhi dan Islamabad, kedua-duanya memiliki senjata nuklear dan telah bertegang urat sejak serangan pengganas di Pulwama, India pada 14 Feb 2019 yang telah menyebabkan lebih 40 orang terbunuh dan ramai tercedera.

Menurut laporan, kumpulan militan yang berpangkalan di Pakistan, Jaish-e-Mohammed mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS