Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek menulis sejarah negara lebih komprehensif

Buku teks sejarah yang digunakan untuk kurikulum nasional Malaysia sering dikritik kerana kurang mewakili kumpulan minoriti tertentu. Dalam semangat "Malaysia Baru", bagaimanapun, sekumpulan ahli sejarah bersedia untuk memulakan projek selama empat tahun untuk menulis sejarah negara yang lebih komprehensif.

"Kami mahu generasi akan datang mengetahui sejarah sebenar Malaysia. Malaysia hari ini adalah hasil sumbangan semua kumpulan etnik. Sejarah harus ditulis seperti sepatutnya [...] setiap kumpulan etnik memainkan peranan [...]

"Kami percaya ini adalah masa yang betul. Malaysia baru harus bangga dengan kepelbagaian dan sejarah sebenar," kata perunding pengurusan Ranjit Singh Malhi, sambil menambah bahawa projek itu mula diilhamkan pada 2016.

Ranjit telah menulis beberapa buku teks sejarah dan memiliki PhD dalam bidang itu. Beliau dan bekas Ketua Jabatan Sejarah Universiti Malaya Sivachandralingam Sundara Raja akan menjadi penulis utama projek itu sementara ahli sejarah Khoo Kay Kim dan Shamsul Amri Baharuddin akan bertindak sebagai editor perundingan projek.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini semalam, Ranjit dan Sivachandralingam berkata projek itu akan memastikan semua kumpulan etnik diwakili dalam sejarah Malaysia termasuk Orang Asli dan orang asal di Malaysia Timur.

Projek ini akhirnya akan menghasilkan sebuah buku berbahasa Inggeris mengenai sejarah Malaysia yang ditujukan kepada masyarakat umum.

Di samping itu, akan terdapat lima buku dalam Bahasa Malaysia berdasarkan sukatan pelajaran sejarah nasional untuk Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 untuk menyediakan pelajar sekolah menengah dengan maklumat tambahan mengenai sejarah negara.

Untuk memastikan ketepatannya, Ranjit dan Sivachandralingam berkata mereka akan menulis draf bagi setiap bab berdasarkan sumber sejarah prima dan sekunder yang kemudiannya akan dihantar kepada editor perunding dan pakar lain untuk semakan.

Sesetengah pakar juga mungkin diminta menyumbang bahan dalam bidang kepakaran mereka.

"Kebanyakan penulis (buku teks sejarah) tidak merujuk kepada buku-buku yang berwibawa mengenai perkara ini, jadi saya fikir ia adalah penting sama ada bagi Tingkatan 1 atau Tinghkatan 5, menengah rendah atau menengah atas yang anda rujuk kepada buku-buku berwibawa mengenai perkara itu.

"Sebagai contoh, ketika menulis tentang sejarah ekonomi, ianya penting untuk melihat karya-karya yang ditulis oleh pakar-pakar dalam bidang itu. Anda tidak boleh hanya melihat buku maklumat umum dan menulis mengenai subjek itu.

"Di sinilah saya rasa banyak kesilapan berlaku dan orang mengkritik. Ini selalu berlaku, jadi ini adalah di mana kita masuk. Kami akan memastikan bahawa semua bab yang kami janjikan akan berdasarkan input daripada pakar dalam bidang ini,"kata Sivachandralingam, yang pakar dalam sejarah ekonomi.

Ranjit menegaskan bahawa projek itu tidak bertujuan untuk menulis semula sejarah Malaysia tetapi hanya untuk mendasarkannya kepada bukti-bukti sebagaimana yang dilakukan sebelum 1996.

Ranjit berkata kumpulan itu berhasrat untuk memulakan projek itu dalam masa sebulan dan masih mencari penaja sektor swasta yang sanggup membiayai perbelanjaan berjumlah kira-kira RM4 hingga RM5 juta.

Ini termasuk untuk ahli kumpulan dan bayaran kepada penyumbang, gaji untuk empat pembantu penyelidik siswazah, perbelanjaan perjalanan dan perbelanjaan lain.

Beliau menambah kumpulan itu akan menubuhkan akaun amanah yang diuruskan oleh firma guaman untuk menerima sumbangan daripada orang awam yang juga dialu-alukan untuk meneliti akaun mereka.

[Baca berita penuh]


Lihat Komen
ADS