BERITA Malaysiakini

Clare sahkan Hadi bayar RM1.4j

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown hari ini mengesahkan dia menerima bayaran RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Abdul Hadi Awang di luar mahkamah pada bulan lalu.

Bagaimanapun Clare menjelaskan ia bukan sebahagian daripada perintah mahkamah kerana hakim tidak mengarahkan presiden PAS itu membayar kos kerana ia sudah dibuat kepada pihak ketiga yang mewakili portal tersebut, iaitu peguam Malaysia, Americk Sidhu

"Sarawak Report bersetuju dengan syarat Abdul Hadi iaitu kedua-dua ppihak merahsiakan bayaran yang terlibat," katanya.

Menurut Clare lagi memang sesuatu yang lazim untuk bayaran bagi penyelesaian luar mahkamah seperti itu dirahsiakan bagi mengelak pihak yang mengeluarkan wang berasa aib.

Langkah itu juga katanya dapat menjimatkan masa dan wang kedua-dua pihak daripada terus terlibat dalam proses perundangan.

"Mahkamah memerintahkan prosiding kes berkenaan ditarik balik dan tiada perintah dikeluarkan untuk kos kerana sumbangan Hadi sudah dibayar dan berada di escrow (pihak ketiga)," kata Clare dalam blognya hari ini.

Turut dipaparkan dalam hantaran terbaru di Sarawak Report itu ialah beberapa gambar salinan dokumen berkaitan, termasuk perjanjian rahsia, sekeping cek Bank Islam dan sepucuk surat kepada Maybank yang mengesahkan wang bernilai RM1.4 juta itu datang daripada Abdul Hadi.

Mahu maklumkan rakyat Malaysia

Beberapa hari lalu Presiden PKR Anwar Ibrahim bertanya kepada PAS sama ada penyelesaian luar mahkamah saman Abdul Hadi ke atas Clare dan Sarawak Report melibatan wang bernilai lebih RM1 juta.

Beberapa jam kemudian Setiausaha Agung PAS yang juga seorang peguam, Takiyuddin Hassan, mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan tersebut.

Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata, PAS akan mendedahkan dokumen bukti bahawa tiada bayaran dibuat kepada Clare.

Malam kelmarin pula Anwar - semasa berceramah di Semenyih - menegaskan Abdul Hadi membayar Clare sebanyak RM1.4 juta. Takiyuddin semalam berkata PAS akan mengadakan sidang media khas bagi menjawab tuduhan anggota parlimen Port Dickson tersebut.

Kata Clare, dokumen bukti yang dilihat Anwar itu ialah surat kepada Maybank tersesebut.

Clare menambah penafian dibuat Takiyuddin itu mengelirukan, tidak benar dan melanggar perjanjian kerahsiaan yang dicapai sebelum ini.

"Hadi tidak sepatutnya membincangkan butiran bayaran penyelesaian dengan mana-mana ahli PAS sama sekali.

"Tindakan Takiyuddin mewakili Hadi adalah pelanggaran dan penolakan perjanjian kerahsiaan yang sangat ketara kerana ia tidak benar.

"Justeru Sarawak Report berhak mempertimbangkan untuk keluar daripada kerahsiaan juga supaya kebenaran dapat diberitahu kepada rakyat Malaysia dikelirukan," katanya.

Menurut Clare dia mula-mula dihubungi untuk ditawarkan penyelesaian luar mahkamah sejak akhir tahun lalu melalui orang tengah Abdul Hadi.

Kata Clare asalnya presiden PAS itu mahu membayar wang tunai tetapi ditolak sebaliknya memilih untuk menggunakan cek tarikh tertangguh.

[Baca berita penuh]