Ramai orang membayangkan hanya kawasan pantai, air terjun dan taman tema untuk menjadi tempat bercuti dan melancong.
Tetapi mungkin ramai yang tidak sedar, masjid juga antara tempat tumpuan pelancongan, khususnya bagi warga asing.
Di Lembah Klang, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau juga dikenali sebagai Masjid Biru Shah Alam menjadi antara tempat tumpuan terpenting untuk pelancongan masjid.
Hasil promosi dengan agensi-agensi luar negara, kira-kira 50,000 orang dijangka melawat rumah Allah itu tahun ini, dengan purata 200 pelancong setiap minggu.
Pada waktu puncak, jumlahnya boleh meningkat sehingga lima kali ganda, menurut pengerusi pemandu pelancong masjid negeri Selangor Tanzil Md Noor.
Ketua Unit Dakwah, Ziarah dan Pelancongan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Abu Dzar Adanan pula berkata jumlah kedatangan pelawat meningkat setiap tahun, terutamanya yang melibatkan warga Jepun.
Menurutnya, jumlah kedatangan pelancongan pada tahun ini sudah melebihi 35,000 orang dan 75 peratus daripadanya adalah pelancong Jepun, manakala selebihnya negara-negara lain.
Berdasarkan statistik pada 2017, sebanyak tujuh juta atau 23 peratus daripada keseluruhan pelancong ke negara ini memilih Selangor sebagai destinasi utama.
'Masjid lain tidak banyak nilai sejarah, nilai kecantikan'
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor Abdul Rashid Asari ketika dihubungi Malaysiakini menjelaskan pelancongan masjid di negeri itu hanya bertumpu di Masjid Biru.
“Pelancongan masjid sebenarnya yang ada satu sahaja di Shah Alam iaitu Masjid biru.
“Jadi setakat ini yang saya tahu di Selangor berkaitan pelancongan masjid yang paling banyak sekali di Shah Alamlah,” ujar beliau.
Menurutnya hal itu disebabkan kebanyakan masjid di daerah lain adalah masjid biasa, baru dibina serta tidak memiliki banyak nilai sejarah atau nilai kecantikan seperti Masjid Biru.
Namun, secara khususnya, kenapa Masjid Biru menjadi pilihan pengunjung?
Bagi Abu Dzar, rahsianya terletak pada kubah dan namanya.
Kubah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah merupakan kubah yang terbesar di dunia dan mempunyai empat menara tinggi yang dibina di sekeliling kubah.
Bahagian luarnya diperbuat daripada kepingan aluminium berlipat dan mempunyai panel berwarna biru.
Berkaitan namanya pula, terdapat pelancong yang mahu membandingkan tempat itu dengan Masjid Biru yang popular di Istanbul, Turki.
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah juga mendapat pengiktirafan sijil kecemerlangan oleh laman web pelancongan TripAdvisor lima tahun berturut-turut, iaitu dari 2014 sehingga 2018.
Romantik dan cantik, kata pelancong
Sementara itu, seorang pelancong China yang hanya mahu dikenali sebagai Sam, masjid itu “romantik dan cantik”.
“Ia sangat istimewa. Ia biru dan sangat besar. Masjid ini sangat romantik dan cantik.
“Apabila saya datang ke sini, saya rasa tenang dan orang di sekeliling sangat peramah,” jelasnya.

Chen Chu Fen pula, juga dari Tanah Besar, berkata mahu membandingkan sendiri gambar masjid yang cantik itu di Internet dengan keadaan sebenar.
“Ia sangat cantik.
“Saya melihat gambar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menerusi internet dan berpendapat ianya sangat cantik jadi saya datang untuk melihat sendiri masjid ini,” ujarnya.
Sementara itu, pelancong Syria yang hanya mahu dikenali dengan nama Rakan pula memuji kemudahan yang disediakan di rumah ibadat itu.
“Mereka memberitahu saya terdapat sebuah masjid besar di Shah Alam jadi saya datang untuk melihatnya.
“Ia besar dan mempunyai tempat meletak kereta di luar dan mereka menjaga masjid ini dengan baik,” katanya.
