Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kajian: BN boleh menang, PH perlu formula ajaib
Diterbitkan:  Mar 1, 2019 6:44 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

PRK SEMENYIH | Tinjauan yang dijalankan badan kaji selidik, Ilham Centre terhadap 378 responden mendapati BN mampu melakukan kejutan pada pilihan raya kecil Semenyih yang berlangsung esok.

Dapatan itu diperoleh menerusi kajian dilakukan secara tatap muka bermula pada 26-28 Februari lalu meliputi segmentasi kaum, jantina, umur pengundi dan lokaliti.

Berdasarkan kaji selidik itu antara lain mendapati calon Pakatan Harapan (PH), Aiman Zainali dilihat tidak mempunyai aura yang cukup untuk menggalas tugas sebagai calon parti kerajaan.

"Tahap penerimaan pengundi terhadap calon (PH) berada pada paras 34.4 peratus merupakan aras yang menunjukkan calon ini tidak mampu menyakinkan pengundi yang ditemui dalam kajian ini," kata Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Azlan Zainal.

Ini katanya menyebabkan perhatian menyebelahi calon BN Zakaria Hanafi, selain kematangan calon menjadi kayu ukur dan penilaian pengundi.

Menurut Ilham, selepas PRK Cameron Highlands, momentum kemenangan BN juga berjaya menyuntik semangat jentera parti itu untuk memberikan tekanan kepada PH pada PRK Semenyih.

Pengundi Melayu beralih arah

Sebagai oposisi, katanya, titik serangan BN tertumpu kepada membangkitkan kegagalan Kerajaan PH menunaikan janji manifesto mereka. 

"Elemen perkauman dan agama melengkapkan ramuan untuk memulihkan sokongan pengundi Melayu yang beralih arah pada pilihan raya umum yang lalu," katanya.

Sementara itu pengundi pula lebih tertarik kepada isu melibatkan perkembangan dalam negara dan kerajaan sebanyak 73.3 peratus berbanding 26.7 peratus melibatkan isu-isu tempatan.

Cadangan kerajaan PH menggantikan tol di empat lebuh raya dengan caj kesesakan serta pemberian tol percuma antara jam 11 malam hingga 5 pagi – juga tidak mengujakan responden yang ditemui.

"Sebanyak 61.4 peratus menyatakan mereka tidak teruja dengan pengumuman tersebut dan bakinya menyambut baik inisiatif kerajaan ini.

"Selain itu, 74.6 peratus responden bersetuju bahawa kerajaan PH gagal menunaikan janji manifesto dan 58.7 peratus bersetuju bahawa kerajaan PH gagal membela Melayu-Muslim sejak mengambil alih kerajaan persekutuan," katanya.

 

PH perlukan formula ajaib

Berbeza dengan BN, PH pula kelihatan bergelut untuk mempertahankan undi pengundi Melayu di Semenyih kerana beberapa faktor.

"PH sekarang ini memerlukan formula ajaib iaitu peratus keluar mengundi dan aras sokongan pengundi kekal sebagaimana PRU-14 yang lalu. 

"Sekiranya perkara ini tidak berlaku, BN mampu menang tipis di Semenyih," kata Azlan.

Kaji selidik dijalankan itu  juga mendapati strategi PH tidak berkesan dan terlalu defensif melibatkan jentera, calon yang ditampilkan malahan isu-isu yang diketengahkan.

Selain bergantung kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam memobilisasi gerakan kempen, kehadiran pimpinan PH yang lain juga tidak memberikan impak besar kepada pengundi.

Sementara itu, Calon PSM dan Bebas pula tidak berjaya meraih sokongan kerana tumpuan hanya diberikan kepada dua parti terbesar yang mengambil tempat dalam pilihan raya kecil itu.

84 peratus pengundi PAS undi BN

Selain itu, kempen “Bossku” juga berjaya meraih perhatian masyarakat setempat apabila 56.6 peratus bersetuju bahawa kempen Najib Razak di Semenyih memberi kesan positif kepada BN.

"Gerakan bersendiri Najib Razak di dalam kempen di Semenyih menjadi nilai tambah dan pelengkap kepada BN secara tidak langsung malah boleh dikatakan kempen ini cukup signifikan untuk membantu BN di sini," kata Azlan.

Sementara itu rata-rata ahli dan penyokong PAS yang ditemui bersedia untuk memberi undi kepada BN meskipun parti Islam itu dilihat tidak agresif menyerang PH dan presidennya, Abdul Hadi Awang tidak turun membantu kempen BN.

"Isu sentimen Melayu-Muslim menjadi pendorong utama mereka dalam melakukan perubahan undi selain arahan daripada pimpinan PAS walaupun pada mulanya signal yang berbeza daripada pimpinan tertinggi PAS.

"Meskipun demikian, menerusi kajian lapangan yang kami lakukan, terdapat kira-kira 84 peratus pengundi PAS dalam PRU-14 bersedia untuk mengundi BN dalam pilihan raya kecil kali ini," ujarnya.

Lihat Komen
ADS