Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images

BLOG | Hari ini pengundi berdaftar di kawasan Semenyih mula memilih wakil rakyat baru untuk membawa suara mereka ke Dewan Undangan Negeri Selangor.

Mengikut senarai SPR, ada 54,503 pemilih berdaftar bagi kawasan DUN Semenyih. Daripada jumlah itu kira-kira 68 peratus ialah pengundi Melayu, 16.7 peratus Cina dan 13.8 peratus India.

Selain calon PH dan BN, PRK kali ini turut disertai calon Parti Sosialis Malaysia Nik Aziz Afiq Abdul, dan calon bebas, Kuan Chee Heng.

Malaysiakini membawakan liputan secara langsung proses pengundian dan keputusan bagi PRK ini.

[Lihat galeri gambar di sini]

LANGSUNG

5.30pm: Pengundian PRK Semenyih ditutup.

Teruskan bersama Malaysiakini untuk laporan langsung keputusan PRK Semenyih.


4.50pm, Semenyih - Beberapa pusat membuang undi sekitar Pekan Semenyih semakin lengang apabila bilangan pengundi semakin surut.

Di SK Ulu Semenyih, hanya petugas kelihatan masih setia menunggu pengundi, manakala hanya kira-kira tiga orang pengundi kelihatan berkeliaran pada jam 4.17pm.

Keadaan hampir sama dapat dilihat di SJKC Kampung Baru Semenyih (4.35pm) dan SMK Engku Hussain (4.44pm).

Bagaimanapun, di kedua-dua sekolah tersebut, masih kelihatan pengundi yang masuk satu persatu ke dalam pagar sekolah dalam jumlah kecil.

Sebuah kenderaan juga kelihatan berlegar-legar di kawasan perumahan, menyaran penduduk turun mengundi melalui pembesar suar.

Saranan berbunyi: “Para pengundi Semenyih, sila keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab anda” - diselang-selikan dalam pengumuman dalam bahasa Mandarin.

Pusat mengundi semakin lengang

4.30pm, Semenyih: Peratusan mengundi setakat pukul 4 petang adalah 68 peratus.

Jumlah itu merupakan yang tertinggi bagi semua PRK DUN Selangor tahun lalu.

Peratusan keluar mengundi tertinggi PRK DUN Selangor tahun lalu adalah di Sungai Kandis, iaitu sebanyak 49.8 peratus.


3.45pm, Semenyih: SPR mengumumkan peratusan keluar mengundi setakat pukul 3 petang adalah 63 peratus. Pengundian akan tamat pukul 5.30 petang ini.


2.25pm, Semenyih: SPR mengumumkan peratusan keluar mengundi setakat pukul 2 petang adalah 57 peratus. Pengundian akan tamat pukul 5.30 petang ini.

Pada PRU 9 Mei lalu, jumlah peratusan keluar mengundi bagi kerusi Semenyih ialah 88 peratus.


2pm, Semenyih: Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun meminta parti yang bertanding untuk tidak membina barung atau pondok panas kerana ia memang dilarang.

Beliau juga berharap semua calon berhenti daripada cuba meraih undi selepas aktiviti seumpama itu mula dilarang sejak jam 12 tengah malam tadi.

"Semua calon. Bukan seorang saja.

"Pihak media pula diminta agar jangan tanya soalan yang boleh membawa kepada kenyataan meraih undi daripada calon-calon," katanya melalui ciapan di Twitter.


1pm, Semenyih: Kadar peratusan pengundi yang keluar setakat jam 2 petang ialah 56 peratus, kata SPR.


12.45pm, SMK Bandar Rinching: Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun menegaskan tiada sebarang aktiviti kempen dibenarkan mulai tengah malam 2 Mac.

Katanya antara larangan yang ditetapkan misalnya ialah seseorang calon tidak boleh berkata: "Sokong saya".

Bagaimanapun kata Azhar tiada larangan dikenakan jika seseorang calon itu berjalan untuk beramah mesra dengan orang ramai.

"Kita tak boleh larang orang berjalan, kan?" katanya.

Ditanya mengenai kekecohan kecil yang berlaku berkaitan pemidang yang memapakan wajah Rosmah Mansor, Azhar berkata, SPR setakat ini tidak menerima sebarang laporan mengenainya.

"Saya fikir itu adalah provokasi. Saya harap ini diperhentikan sebab ia boleh menimbulkan masalah ketenteraman," katanya.

Mengulas perjalanan proses pengundian hari ini Azhar berkata beliau berpuas hati kerana ia berlangsung dengan lancar.

"Saya harap semua pengundi keluar dan sasaran SPR ialah 70 peratus," katanya.


12.15pm, Semenyih: Menurut SPR peratusan keluar mengundi setakat jam 12 tengah hari ini ialah 44 peratus.


10.55am, Beranang: Kekecohan berlaku di pusat pengundian Sesapan Batu Rembau di antara penyokong BN dan PH ekoran kain rentang provokasi memaparkan Rosmah Mansor.

Difahamkan berlaku pergaduhan kecil di antara penyokong ketika wartawan tiba, namun ia berjaya ditenangkan.

Petugas SPR berada dilokasi, namun dihalang oleh penyokong PH daripada menurunkan kain rentang berkenaan.


10.10am, SRA Batu Tiga, Jalan Bangi: Berlaku sedikit ketegangan di pusat pengundian ini apabila dua sukarelawan BN terlihat kenderaan dengan logo PH memasuki kawasan larangan.

Untuk rekod tidak ada logo parti politik boleh berada dalam lingkungan 50 meter dari pusat pengundian.

Ketua Pemuda MIC Hulu Langat SR Chandrathevan berkata dia ternampak sebuah erodua Alza membawa logo Harapan pada bonet depannnya.

Dia juga mendakwa petugas SPR tidak menjalankan tugas menghentikan kenderaan tersebut.

"Adakah mereka benar-benar neutral dalam PRK ini?" katanya.

Sementara itu Malaysiakini melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda melepasi kawasan pengundian dengan memainkan lagu "Pergi Mengundi".

Chandrathevan kemudian bertanya secara lantang sama ada kenderaan itu boleh dibenarkan memasuki kawasan larangan SPR.

Seorang penyokong BN kemudian menjeritkan: "Hancing!" sejurus selepas itu.

Selepas dimaklumkan seorang pegawai SPR mengarahkan petugas melarang sebarang kenderaan membawa logo parti melepasi kawasan yang ditetapkan.

Pada masa sama dia juga tidak senang apabila jentera BN menggunakan sebuah rumah sewa yang berada dalam kawasan larangan SPR untuk dijadikan tempat rehat.

"Kami juga tidak senang mereka menggunakan rumah ini sebagai tempat mereka," katanya.

Semenyih Selatan mempunyai 2,759 pengundi dengan 70 peratus adalah Melayu.

Chandrathevan pula berkata dia yakin 60 peratus pengundi India akan memilih BN kali ini.


9.45am, Semenyih: SPR menyatakan setakat jam 9 pagi tadi secara keseluruhan 15 peratus pengundi hadir untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.


09.20am, Dewan Orang Ramai Semenyih: Calon bebas Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang tiba.

Dia yang terkenal dengan sikap bersahaja kelihatan santai dengan peluangnya hari ini.

"Saya tak nampak ada peluang untuk menang, cuma pada saya PRK ini bukan sekadar pertembungan di antara BN dan PH, tapi ia mengenai kemenangan rakyat," katanya kepada media di luar pusat mengundi.

Kuan juga berkata dia tidak kisah kalau hilang wang deposit dan akan tetap memberikan khidmatnya kepada sesiapa yang memerlukan.

"Mungkin saya tak dapat undi mereka, tapi saya dapat hati mereka," katanya.


9.15am, SMK Engku Hussain: Jumlah pengundi yang datang semakin bertambah berbanding sejam tadi.

Bagi memudahkan pengundi yang agak berusia, khidmat buggy disediakan sebagai pengangkutan dari pagar sekolah ke bangunan mengundi.

Selain itu, kad yang diedarkan lebih awal oleh SPR nampaknya diterima baik orang ramai kerana memudahkan mereka.

“Senang, saya bawa kad ini, terus saja. Tak payah periksa-periksa lagi kat sini,” kata Jalaludin Toha (foto), 64, tentang kad mengundi, ketika ditemui menaiki buggy.

Sementara itu, calon Parti Sosialis Malaysia tiba melawat sekolah setelah selesai membuang undi di Dewan Orang Ramai Semenyih.

“Ini sekolah saya. Aiman (calon PH) dulu senior saya di sini,” katanya.

8.45am, SK Bandar Bukit Mahkota: Suasana tenang setakat ini di pusat daerah mengundi kedua terbesar dalam DUN Semenyih.

Beberapa anggota BN dilihat cuba meraih undi pada saat terakhir dengan mendekati orang ramai yang datang. Mereka berada kira-kira 50 meter dari pintu masuk sekolah.

Dua kereta buggy disediakan di pintu masuk bagi membantu membawa pengundi yang memerlukan ke tempat mereka menunggu giliran.

Kakitangan kerajaan, Sharudin Said, 40, berkata dia akan tetap menyokong calon PH kerana berpendapat kerajaan memerlukan masa lebih daripada sekadar sembilan bulan untuk memulihkan negara.

"Saya akan beri PH masa lima tahun," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapu Sharudin mengakui ramai rakannya serta generasi tua mahu memilih BN kali ini dan menganggap ia dipengaruhi sentimen perkauman yang dimainkan pembangkang.

"Ada orang kata cuma kira-kira 20 peratus Melayu yang masih menyokong PH dan saya salah seorang daripada mereka," katanya secara berseloroh.

Bukit Mahkota mempunyjai 5,519 pengundi berdaftar dengan 96 daripadanya ialah Melayu.


9am, Beranang: Calon BN, Zakaria Hanafi berharap pengundi Semenyih akan membuat keputusan yang tepat bagi membawa suara mereka ke DUN Selangor.

Zakari berkata, jika dipilih sebagai wakil rakyat hari ini ia adalah satu hadiah yang cukup istimewa memandangkan ulang tahun kelahirannya lusa.

8.50am, SMK Engku Hussain: Selepas mengundi calon PH, Muhammad Aiman Zainali eluangkan masa melakukan pemerhatian di sekitar sekolah.

Dia dijadual akan ke SK Ulu Semenyih pula untuk membawa isterinya membuang undi di sana.


8.35 am, Beranang: Calon BN, Zakaria Hanafi, dan isteri Katijah Beebi Bayi Khan meninggalkan pusat pengundian di dewan JKKK Kampung Sesapan Kelubi. Dia menunaikan tanggungjawab kira-kira jam 8.10 minit pagi.

8.15am, Dewan Orang Ramai Semenyih: Calon Parti Sosialis Malaysia Nik Aziz Afiq Abdul tiba untuk menunaikan tanggungjawabnya.

Mengiringi Nik Aziz ialah bapanya Abdul Abdul Karim dan pengurus kempen S Arutchelvan.

Dianggap bukan antara calon yang berpotensi menang Nik Aziz berkata dia pasrah namun tetap positif melihat sentimen rakyat yang kini berbeza berbanding pilihan raya sebelumnya.

Katanya mereka sudah berusaha sebaik mungkin sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu.

"Dan hari ini saya berserah kepada Allah. Apa saja keputusan kita akan terima dengan hati yang terbuka," katanya.


8am, SMK Engku Hussain: Calon PH Muhammad Aiman Zainali tiba di pusat pengundian di sekolah yang terletak di Kampung Baru Semenyih pada jam 7.55 pagi.

Dia tiba bersama isterinya Nurul Filzah Bakhtiar yang juga anak kepada bekas Adun Semenyih.

Aiman beratur bersama kira-kira 15 pengundi lain di saluran lima sekolah berkenaan.

Tempat mengundi SMK Engku Hussain mempunyai 2,326 pengundi berdaftar. 

Lihat Komen
ADS