Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kereta terbang: Tak jadi masalah jika dipacu sektor swasta - Timb menteri
Diterbitkan:  Mar 3, 2019 9:12 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Cadangan membangunkan kereta terbang hanya boleh dijayakan sekiranya mendapat pelaburan dari luar negara.

Kerajaan tidak ada masalah terhadap cadangan kereta terbang sekiranya dipacu pelaburan dan dibiayai sektor wasta, kata Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah.

Beliau dipetik Sinar Harian berkata cadangan itu bukan keutamaan kerajaan pada masa ini.

"Jika ada idea baharu yang inovatif dan ia dipacu oleh sektor swasta, termasuk pelaburan dan R&D dibiayai pihak swasta, ia tak jadi masalah.

"Yang penting apabila idea itu diterjemah dalam bentuk pengeluaran dan membolehkan kemahiran itu dikongsi bersama anak tempatan," katanya.

Menurut Amiruddin, sekiranya projek berkenaan termasuk aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) disandarkan kepada kantung kerajaan, maka ia akan melibatkan perbelanjaan yang besar.

Beliau juga menjelaskan kerajaan mengalu-alukan inovasi daripada pihak swasta dalam penerokaan bidang baru.

“Jika ia perlukan pelaburan besar, bukan jadi keutamaan kerajaan sekarang untuk lihat perkara itu. 

"Namun jika libatkan pihak swasta, mereka dialu-alukan, kerana industri itu kelak membuka peluang kerja untuk anak tempatan,” katanya.

Pada 26 Februari lalu, Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof berkata prototaip kereta terbang sudah ada dan dijangka diperkenalkan kepada awam tahun ini.

"Tahun ini adalah sasaran yang realistk kerana kita sudah ada teknologinya. Semua ini tentang kecepatan pelaksanaan.

"Pelaburan untuk membina prototaip lebih sedikit daripada RM1 juta," katanya.

Semalam, Redzuan menjelaskan pasaran utama kereta terbang yang akan dibangunkan di negara ini adalah syarikat perkhidmatan pengangkutan atau pemain sektor pengangkutan lain dan bukan untuk dijual kepada orang ramai sebagaimana tanggapan sesetengah pihak.

Lihat Komen
ADS