Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Rantau: Biro politik PKR akan tentukan nasib Streram

Biro Politik PKR akan membuat keputusan sama ada akan sekali lagi mencalonkan Ketua Cabang PKR Rembau Dr S Streram untuk PRK DUN Rantau atau meletakkan calon lain.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata soal itu akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik akan datang.

"Memang dulu Dr Streram calon di situ dan dia dianiaya kerana tidak dibenarkan masuk (ke pusat penamaan calon). Ini menyebabkan dia membawa (kes itu) ke mahkamah.

"Tetapi kita akan fikirkan perkara ini dan letak siapa (sebagai calon). Kita akan bincang bersama-sama," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2018 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di Putrajaya hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut berkenaan sebelas pengerusi dan setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Rantau yang dilaporkan membantah pencalonan semula Streram.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan menang tanpa bertanding di DUN Rantau pada PRU lalu apabila Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

S Streram

Pada 16 Nov lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Mohamad tidak sah dan terbatal dan mengarahkan pilihan raya semula diadakan.

Sebelum ini Wanita PKR menggesa anggotanya diletakkan sebagai calon PRK itu dan telah mempunyai tiga nama untuk dipertimbangkan.

Sementara itu, Wan Azizah yang juga timbalan perdana menteri dalam ucapannya mengingatkan penjawat awam agar mematuhi etika penggunaan media sosial.

Misalnya ketika memberi maklum balas terhadap kritikan pengguna media sosial, beliau berkata penjawat awam tidak harus menggunakan bahasa yang kurang sopan.

"Oleh itu warga kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat perlu lebih peka dan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS