Penggempur "Adnan" tersadai kerana tiada alat ganti
Hampir 30 peratus daripada kereta penggempur keluaran negara bernama "Adnan" milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini tersadai akibat kerosakan lapisan brek dan ketiadaan alat ganti.
Hampir 30 peratus daripada kereta penggempur keluaran negara bernama "Adnan" milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini tersadai akibat kerosakan lapisan brek dan ketiadaan alat ganti.
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin berkata alat gantinya tidak dapat diperolehi daripada pembekal kerana ATM belum mendapat kebenaran membelinya.
"Kalau tank ada, tapi brake pad tak ada, maka tak jalanlah. Kalau jalan, rempuh kawan-kawan pula," katanya kepada pemberita selepas melawat syarikat pembekal kereta penggempur itu, DRB-Hicom Defence Technology (Deftech), di Pekan, Pahang.
Menurut laporan Bernama, Zainal Abidin berkata perkara itu dijangka menjadi lebih serius selepas semua kereta penggempur yang dibekalkan itu akan tamat tempoh jaminan selama dua tahun tidak lama lagi.
Beliau berkata perjanjian antara syarikat itu dan pihak kerajaan dalam membekalkan kereta penggempur itu tidak menyatakan mengenai pembekalan barang-barang alat ganti selepas tamat tempoh jaminan.
Katanya keadaan akan menjadi buruk sekiranya tindakan tidak diambil segera.
"Saya melihat ini sebagai satu kecacatan, tak tahulah sama ada ia satu kelalaian yang sengaja atau kelalaian yang dirancangkan.
"Bukan rosak tidak boleh diperbaiki, tapi kebenaran untuk beli alat ganti itu tidak ada," katanya.
Zainal Abidin berkata beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Pertahanan.
Pengarah Deftech Datuk Mohd Nor Mohamad berkata syarikat itu sedia menjual alat-alat ganti itu kepada ATM.
Katanya mengikut perjanjian, Deftech hanya melakukan penyelenggaran sepenuhnya bagi tahun pertama selepas kereta penggempur itu dibekalkan dan menyediakan alat-alat ganti bagi setahun berikutnya.

