Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) hari ini menggesa Dr Mahathir Mohamad merombak kabinet supaya Anwar Ibrahim boleh dibawa masuk sekali gus mengatasi isu kabinet yang dianggap lesu.
Setiausaha Agung Mira, R Kannan, berkata dengan adanya Anwar dalam kabinet Mahathir, presiden PKR itu boleh diberikan peranan khusus membantu kerajaan.
"Kami percaya, Anwar perlu segera dibawa masuk menyertai kabinet selepas PH makin hebat dikritik oleh rakyat.
"PKR merupakan parti komponen terbesar dalam PH, maka presidennya perlu dibawa masuk," katanya kepada Malaysiakini.
Kenyataan itu dibuat ketika PH mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam PRK selepas PRU ke-14.
Pada Sabtu lalu PH gagal mempertahankan kerusi DUN Semenyih apabila ia dirampas semula oleh BN - yang disokong PAS - dengan kelebihan hampir 2,000 undi.
Bagaimanapun untuk rekod sejak mengambil alih Putrajaya daripada BN pada 9 Mei 2018, PH sudah memenangi empat PRK sebelum Cameron Highlands dan Semenyih, iaitu untuk kerusi DUN Seri Setia, Sungai Kandis dan Balakong, serta kerusi parlimen Port Dickson.
Banyak duduk pejabat
Kata Kannan, dengan membawa Anwar menyertai kabinet juga Mahathir berpeluang membuktikan bahawa beliau masih berpegang kepada perjanjian mengenai peralihan kuasa yang dipersetujui sebelum PRU tahun lalu.
"Langkah tu juga memberi Anwar akses kepada setiap keputusan diambil kabinet sekarang.
"Secara tidak langsung ia juga memberi ruang kepada Anwar membuat persediaan lebih rapi sebelum mengambil alih kuasa daripada Mahathir," katanya.
Sementara itu, Mira sebagai rakan strategik PH turut mendakwa terdapat beberapa menteri ketika ini dilihat tidak cukup berkemampuan menjalankan tugas yang diberikan.

"Apa yang kami nampak sekarang, kabinetnya seperti dah tersangkut. Ada menteri lebih suka duduk di pejabat daripada turun berjumpa rakyat.
"Mira percaya menteri itu sebenarnya takut berjumpa dengan rakyat kerana mereka tidak menjalankan tugas," tegasnya.
Menurut Kannan lagi menteri terbabit perlu diberi amaran supaya tidak duduk dalam pejabat semata-mata.
Kannan turut mempersoalkan tindakan Hindraf - satu lagi rakan strategik PH - yang memboikot PRK Semenyih.
"Menterinya (P Waythamoorthy) atau ahli-ahli Hindraf tak turun ke Semenyih.
"Saya ingin menegaskan, di Semenyih ada lebih 7,000 pengundi India dan lima tok batin.
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal masyarakat India dan Orang Asli, kenapa Waytha tidak ke Semenyih?
"Adakah ini satu tindakan boikot selepas Pemuda Bersatu meminta beliau letak jawatan?" katanya.
