Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tendang Umno keluar BN antara pilihan MCA, MIC – sumber

Gabungan baru yang diusahakan MCA dan MIC mungkin tidak melibatkan penubuhan badan baru, kata seorang pemimpin kanan BN.

Sebaliknya, kata pemimpin yang enggan namanya disebut itu, kedua-dua parti itu mungkin cuba menyingkirkan Umno, yang kini dilihat lebih berminat dengan kerjasama bersama PAS.

"Kenapa perlu MCA dan MIC keluar BN? Kita mampu, boleh pecat Umno daripada BN. 

“Sebab kami( MCA dan MIC) dua parti. Umno cuma satu," kata sumber itu.

Katanya, memang Umno lebih kuat dalam Dewan Rakyat, tetapi keadaan dalam parti berbeza sama sekali.

“Tetapi, di dalam BN, MCA dan MIC lagi mantap," tambah beliau.

Sumber bagaimanapun berkata tidak dapat mendedahkan butiran lanjut rancangan mereka buat masa ini.

"Buat apa ini, kami tidak nak memberitahu apa-apa. Ini bukan isu boleh diselesaikan dalam masa satu atau dua hari. Ia boleh gabungan baru atau BN 2.0.  

“Tunggu dan lihat," katanya kepada Malaysiakini.

Sumber juga berkata mereka “meluat” dengan sesetengah kenyataan pemimpin-pemimpin Umno yang didakwa mereka “rasis”.

Mesyuarat MCA dan MIC berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Ia, antara lain, mendesak majlis tertinggi BN mengadakan mesyuarat bagi berbincang masa depan gabungan tersebut.

Kenyataan bersama Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden MIC SA Vigneswaran bersama selepas mesyuarat itu, berkata kedua-dua parti itu sedang mempertimbangkan penubuhan pakatan baru.

Mereka mengadu bahawa semangat perpaduan BN telah terjejas, sambil menegaskan antara lain, kenyataan pemimpin pusat Umno Mohamed Nazri Abdul Aziz semasa pilihan raya kecil Semenyih yang dianggap perkauman.

Lihat Komen
ADS