Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasukan Hadi asalnya tawar bayaran tunai – Americk
Diterbitkan:  Mar 5, 2019 9:46 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Seorang bos syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan pengantara dalam mengendalikan urusan bayaran antara Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dakwa Peguam Americk Sidhu.

Beliau juga mendakwa individu itu menawarkan diri untuk membayar guaman tersebut secara tunai, lapor The Malaysian Insight.

Americk, yang mewakili Clare berkata penyelesaian di luar mahkamah itu merupakan kemuncak daripada rundingan yang dibuat sejak beberapa bulan lalu melibatkan PAS, Clare dan individu berkenaan sebagai pengantara.

“xxxxx ada di sini (di pejabat saya di Kuala Lumpur) bagi pihak Hadi Awang. Tiada keraguan kerana rundingan berjalan sejak beberapa bulan antara beliau, Clare dan Hadi. Ini adalah kemuncak rundingan. Beliau di sini untuk mencari jalan bagaimana untuk membayar wang itu.

“Apabila saya katakan saya tak boleh terima wang tunai, beliau terus menulis ceknya sendiri. Beliau telah menandatangani cek untuk alasan yang mudah bahawa beliau terpaksa ambil wang tunai dari Hadi untuk dimasukkan ke dalam akaunnya,” Americk dilaporkan sebagai berkata.

Menurut Americk lagi, cadangan pertama yang dibuat PAS adalah untuk membayar secara tunai.

“Reaksi saya mengenainya adalah, ‘Saya tak boleh dilihat meletakkan wang sebanyak itu dalam akaun anak guam saya kerana ia akan mencetuskan banyak amaran mengenai (undang-undang) pengubahan wang haram.

“Jadi saya katakan, “Tidak, saya tak terima wang tunai. Maaf. Jadi terdapat tawaran tunai pada mulanya.

“Bila saya menolak untuk menerima wang tunai, ketika itulah pengantara terus menulis pada cek peribadinya,” Americk dilaporkan sebagai berkata.

Clare kemudiannya mengarahkan Americk untuk memindahkan wang berkenaan ke dalam akaunnya di London.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi di London pada 2017, melibatkan dakwaan Abdul Hadi dan pemimpin PAS lain menerima RM90 juta untuk menyokong Umno dan BN pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Penyelesaian itu dibuat tanpa sebarang perintah kos pada 1 Februari.

Susulan dakwaan oleh PAS bahawa tiada bayaran dibuat, Clare memuat naik artikel dalam Sarawak Report, bersama gambar cek Bank Islam, mendakwa beliau dibayar sebanyak RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada penyelesaian bagi membolehkan Hadi menarik balik kes dengan perjanjian kedua-dua pihak perlu merahsiakan mengenai bayaran itu.

Tak tahu bagaimana rundingan berlaku

Sementara itu Americk berkata beliau tidak tahu bagaimana rundingan tersebut berlaku.

“Saya tidak tahu. Saya tak tanya soalan itu. Saya tidak tahu tentang rundingan sebelum itu. Saya hanya diarahkan untuk menerima wang, masukan dalam akaun anak guam saya dan hantar wang itu kepada Clare di London.

“Saya dilantik untuk itu. Namun terdapat rundingan dalam beberapa ketika,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Katanya lagi, anak guamnya memaklumkan pelanggaran kerahsiaan urusan pembayaran itu dicetuskan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan terlebih dahulu.

“Menurut anak guam saya, pelanggaran kerahsiaan keseluruhan perkara ini dicetuskan oleh Takiyuddin.

“Dan beliau (Takiyuddin) muncul dan mengatakan bahawa mempunyai bukti dokumen tiada wang dibayar, yang mana ia benar-benar salah, saya fikir ia adalah apa yang mencetuskannya. Anak guam saya merasakan dirinya tidak lagi terikat kerana Takiyuddin berbohong,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Americk berkata demikian merujuk tindakan Takiyuddin yang menafikan pembayaran dibuat oleh PAS kepada Clare.

Americk juga kesal apabila individu itu dinamakan dalam pertikaian politik selepas Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendedahkan perkara itu.

“Adalah sangat malang bahawa identiti perantara telah didedahkan oleh Rafizi kerana dalam semua urusan saya dengannya, saya berada di bawah tanggapan bahawa dia seorang lelaki yang budiman - dalam erti kata lain tugas utamanya di sini adalah untuk menyelesaikan masalah antara kedua-dua pihak.

“Jadi, malanglah namanya didedahkan tetapi tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan mengenainya kerana kita tidak mendedahkannya, jadi itulah isu asas di sini. Sukar untuk saya membuat komen kerana ia bukan niat saya untuk mendedahkan siapa letakkan kesepakatan ini bersama-sama,” katanya.

Lihat Komen
ADS