Rais mahu orang Melayu tangisi kematian tulisan Jawi
Masyarakat Melayu di negara ini haruslah mengambil sesuatu langkah bagi menghidupkan semula tulisan Jawi ekoran "berkubur" tulisan itu apabila akhbar Utusan Melayu - satu-satunya akhbar yang mencetak beritanya dalam tulisan Jawi dihentikan penerbitannya.
Masyarakat Melayu di negara ini haruslah mengambil sesuatu langkah bagi menghidupkan semula tulisan Jawi ekoran "berkubur" tulisan itu apabila akhbar Utusan Melayu - satu-satunya akhbar yang mencetak beritanya dalam tulisan Jawi dihentikan penerbitannya.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata penutupan penerbitan akhbar Utusan Melayu seharusnya dipandang sebagai satu kematian kepada warisan bangsa kerana tulisan Jawi adalah satu pusaka warisan bangsa yang telah menjadi skrip rasmi dan lidah Melayu selama lebih 600 tahun.
Katanya masyarakat Melayu tidak seharusnya cuma berpeluk tubuh melihat tulisan Jawi menghilang dari ufuk budaya dan persoalan berat ini menuntut penyelesaian daripada orang Melayu sendiri.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata apabila penerbitan akhbar tulisan Jawi dihentikan pada 29 Januari lepas, adalah jelas orang Melayu tidak mempedulikannya sedangkan pada hakikatnya ia bererti kematian kepada sebahagian jasad budaya warisan Melayu itu sendiri.
"Tidak ada orang yang mendengus, tidak ada orang yang mempolemikkan kematian ini dan minat terhadap tulisan Jawi telah menurun," katanya pada ucaptama bertajuk "Unsur-unsur dan Cabaran Perpaduan Ke Arah membina Negarabangsa Malaysia" sempena majlis Perhimpunan Perdana Perpaduan Awam anjuran Majlis Perundingan Muhibah di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.
Teks ucapannya disampaikan oleh Naib Cancelor USM Datuk Prof Dzulkifli Abdul Razak.
Rais berkata apabila akhbar Utusan Melayu yang mengoborkan politik dan perjuangan Melayu berdekad-dekad lamanya mati kerana tidak dibeli lagi oleh orang Melayu dan dalam masa yang sama populariti bahasa Inggeris berterusan seperti apa yang berlaku sekarang, suatu ketika kelak akhbar-akhbar bahasa Melayu juga akan mengalami nasib yang sama.
Katanya jika peredaran zaman menjadi alasan sehingga bangsa Melayu tidak lagi berminat dengan tulisan Jawi, bukan sahaja budaya Melayu akan terjejas malah perpaduan Melayu juga tidak akan tercapai.

