Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN | Kupasan dalam tulisan sebelum ini amat bertepatan dengan apa yang pernah dinyatakan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Faisal al-Tafriqah Baina al-Islam wa al-Zanadiqah, iaitu ketika beliau membahaskan ayat al-Quran mengenai kenyataan bahawa Allah tidak akan mengazab sesuatu kaum hingga Allah datangkan Rasul (al-Isra’, ayat 15).

Ketika mengulas ayat itu, kitab tafsir al-Manar menjelaskan bahawa terdapat satu kalangan manusia yang hidup sebelum Muhammad menjadi nabi. 

Mereka disebut sebagai Ahlul Fatrah, iaitu dakwah yang benar tidak sampai kepada mereka sehingga boleh mencetuskan pemerhatian mereka terhadap Islam.

Yang termasuk dari kalangan ahli Fatrah ialah mereka yang satu zaman dengan para nabi, tetapi syariah nabi tidak sampai kepada mereka.

Golongan terbabit percaya kepada para nabi secara umum sahaja – seperti penganut agama Hanif dalam kalangan orang Arab yang percaya kepada Nabi Ibrahim dan Ismail tanpa mengetahui ajaran nabi itu secara terperinci.

Kitab Tafsir al-Manar juga mendatangkan kupasan al-Ghazali yang menyatakan bahawa kalangan manusia kufur itu terbahagi kepada tiga kelompok, iaitu:

* Mereka yang tidak pernah mendengar hujah menyebabkan mereka tidak menerima Islam.

* Mereka mendengar hujah yang benar, tetapi mereka menolaknya juga.

* Mereka mendengar hujah yang tidak kuat, menyebabkan mereka tidak menerima Islam.

Lihat dari salah kerangka

Dalam kupasan al-Ghazali, kalangan yang pertama itu terselamat daripada seksaan neraka. Kalangan yang kedua – iaitu mendengar hujah yang betul, kemudian menolaknya juga - maka mereka menjadi ahli neraka.

Kalangan ketiga pula – iaitu tidak mendengar hujah yang kuat, maka ia kekal dalam kekufuran – Imam al-Ghazali menyatakan, ia sama seperti kalangan yang pertama, iaitu terlepas daripada azab neraka.

Daripada perbahasan itu kitab Tafsir al-Manar menyimpulkan bahawa apa yang dimaksudkan orang beragama ialah dakwah nabi sampai kepada mereka dalam bentuknya yang sebenar.

Justeru, maksud kafir ialah mereka yang didatangkan hujah yang sebenar, tetapi menolak juga.

Gambar hiasan

Dengan erti kata lain, andai pada hari ini terdapat orang tertentu melihat Islam dari kerangka yang salah - seperti kita yang melihat Islam mengikut tafsiran perkauman Melayu, Islam dalam pentafsiran sentimen politik - semua itu menyebabkan ada kalangan non-Muslim tidak menerima Islam.

Mereka itu tidak wajar disebut sebagai kafir kerana maksud keingkaran sebenar tidak wujud sama sekali.

Ada sebilangan pihak yang menolak cadangan NU dengan menyatakan bahawa tindakan sebegitu akan melahirkan kekusutan, kerana dalam al-Quran terdapat surah al-Kafirun yang menyebut dalam ayat awalnya: “Katakanlah, wahai orang kafir”.

Maka, jika diterima cadangan NU itu, mereka menganggap bahawa selepas ini akan digantikan dengan “Katakanlah, wahai non-Muslim.”

Dijawab bahawa cadangan itu tidak ada kaitan langsung dengan membuang kalimah “kafir” dalam al-Quran, tetapi ia tidak lebih sekadar menetapkan bahawa bukan semua non-Muslim boleh dianggap sebagai kafir.

Ada banyak makna

Istilah kafir itu hanya boleh diberikan kepada orang yang ada pengingkaran terhadap Islam setelah diberikan hujah yang kuat, jitu serta ada kebijaksanaan.

Dalam erti kata lain, tidak semua non-Muslim itu kafir kerana terdapat non-Muslim yang kekal tidak Islam kerana tidak pernah diberikan hujah yang meyakinkan.

Dan tidak semua kafir itu non-Muslim kerana di sana terdapat pemaknaan kafir dengan merujuk kepada Muslim yang melakukan dosa besar, malah melakukan kejahatan.

Maka dengan demikian, dakwaan bahawa cadangan itu akan memberi implikasi membuang kalimah “kafir” dalam al-Quran adalah tidak benar sama sekali.

Gambar hiasan

Sebaliknya, cadangan berkenaan untuk memastikan meletakkan pemaknaan kafir itu tepat pada tempatnya.

Kedua: Tujuan dakwah

Dari sudut kedua, cadangan NU agar tidak memanggil non-Muslim sebagai kafir mempunyai pendekatan dakwah.

Perkara itu pernah dipertegaskan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dan beliau menulis sebuah buku bagi mencadangkan hal itu sejak 2004.

Antara hujah mereka:

Pertama, kalimah “kafir” mempunyai makna yang banyak (seperti dalam perbahasan sebelum ini). Justeru, memanggil individu bukan Islam tertentu dengan panggilan kafir kadangkala tidak menepati maksud sebenar kerana mungkin sahaja dia tidak pernah diberikan gambaran Islam dalam kerangka yang meyakinkan.

Kedua, al-Qaradawi berhujah bahawa al-Quran dalam pemanggilan terhadap masyarakat non-Muslim menggunakan beberapa perkataan sopan seperti “wahai Manusia”, “wahai anak-anak Adam”, “wahai hamba-Ku” atau “wahai ahli kitab”. 

Andai ada panggilan “kafir” pun, ia merujuk kepada keingkaran dan penentangan terhadap Islam, seperti dalam Surah at-Tahrim ayat 7: “Hai orang-orang kafir, janganlah kamu mengemukakan uzur pada hari ini. Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan.”

Juga dalam Surah al-Kafirun ayat 1: “Katakanlah, wahai orang kafir”.

Gambar hiasan

Ketiga, Nahdatul Ulama (NU) berhujah bahawa memanggil masyarakat non-Muslim sebagai kafir boleh mewujudkan suasana tidak baik sesama warganegara atau hubungan di antara Muslim dan non-Muslim.

Justeru hentikan panggilan “wahai kafir” itu bukan sekadar tidak dilarang, malah telah difatwakan oleh ulama terdahulu.

Fatwa tersebut mereka nukilkan daripada komentar Ibn Nujaim al-Misri yang menyatakan bahawa muslim yang mencela non-Muslim yang zimmi boleh dijatuhkan hukuman takzir.

Hal ini kerana, tindakan tersebut dikira sebagai maksiat dan dosa.

Pendapat ini pernah dinukilkan dalam kitab Fath al-Qadir. Dalam kitab al-Qunyah pula, ada ayat yang menjelaskan bahawa andai seseorang Muslim itu memanggil kepada Yahudi, atau kepada Majusi dengan panggilan “Wahai Kafir”, ia adalah dosa andai mengguris hatinya.”

Penutup

Daripada kupasan ini, dapat disimpulkan beberapa perkara seperti berikut:

Pertama, cadangan NU dan al-Qaradawi agar tidak lagi memanggil orang bukan Islam sebagai “kafir” tetapi menggantikannya dengan “non-Muslim” - walaupun dilihat agak berani kerana berbeza dengan kebiasaan dunia Islam - ia tetap mempunyai asas dari sudut agama.

Kedua, dari sudut pemaknaan kalimah kafir dalam teks Islam, didapati ia merujuk kepada pengingkaran setelah diberikan hujah yang meyakinkan.

Lantaran itu, terdapat non-Muslim yang tidak kafir, iaitu apabila dia menjadi non-Muslim tanpa diberikan hujah yang benar; ataupun dia menjadi non-Muslim kerana dia mendapat gambaran yang salah berkenaan Islam.

Ketiga, alasan dakwah adalah faktor terbesar cadangan al-Qaradawi dan NU dalam hal ini. Pendekatan ini - hakikatnya - bukanlah hal baru, tetapi ditulis oleh ulama-ulama Islam hampir 1,000 tahun yang lalu.

Siri 1: Kafir atau non-Muslim?


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre. Rencana ini dipetik dari laman sesawang saudara.org.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS