Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kerjasama Umno-PAS boleh gugat k’jaan negeri Perak, Kedah
Diterbitkan:  Mar 6, 2019 11:40 AM
Dikemaskini: 9:11 AM

PAS memberi bayangan bahawa kerajaan negeri Perak yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) hari ini boleh bertukar tangan sekiranya parti itu menyatakan persetujuan untuk bergabung dengan Barisan Nasional (BN).

Portal Utusan Malaysia memetik Ketua Pemuda PAS Perak, Akmal Kamarudin sebagai berkata sekiranya dua Adun Umno tidak keluar parti sebelum ini, sudah pasti kerajaan negeri sudah ditadbir oleh gabungan tersebut.

Umno dan PAS kini memiliki 28 kerusi DUN berbanding dengan PH yang mempunyai 30 kerusi. Satu lagi kerusi menjadi milik Bebas.

Pada pilihan raya ke-14 lalu, Umno memenangi 27 kerusi manakala PAS pula mempunyai tiga kerusi.

Walau bagaimanapun, tiga hari kemudian, bekas exco kerajaan negeri Perak yang juga Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin dan Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohamed Radzi menyatakan sokongan kepada Ahmad Faizal Azumu, sebagai menteri besar Perak.

Kedua-dua mereka kemudian meninggalkan Umno dengan Zainol Fadzi menyertai Bersatu dan menjadi penasihat menteri besar. Nolee Ashilin pula memilih menjadi wakil Bebas.

“Pada awalnya PAS tidak membuat apa-apa keputusan untuk bergabung dengan BN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), berdasarkan kepada pengalaman lalu sewaktu Datuk Muhammad Asri memimpin, selain PAS telah melawan BN sekian lama dalam memperjuangkan prinsip Islam.

“Setelah PRU14 berlalu, PAS telah melihat ahli BN melalui kehidupan sebagai wakil rakyat pembangkang yang cemerlang, seperti mana PAS telah lalui sebelum ini,” kata Akmal.

Kerajaan Negeri Perak hari ini ditadbir oleh PH yang mempunyai sebanyak 30 kerusi. Daripada jumlah itu, Amanah mempunyai 6 kerusi, Bersatu (2), PKR (4) dan DAP (18).

Semalam, selepas lebih dua setengah jam bermusyawarah, PAS dan Umno bersetuju bahawa kedua-dua parti rasmi 'bersanding' di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Hal itu dinyatakan pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan, yang mengadakan sidang media bersama Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Sekarang ni kita dah kenduri kahwin dah ni, dah rasmi dah. Sebab tu kita buat macam ni, (secara) rasminya... merasmikan jawatankuasa induk.

"Kita ni dah bersanding dah ni..." katanya.

Bagaimanapun kata Mohamad, langkah tersebut bukanlah bermaksud PAS dan Umno akan digabungkan dan tidak akan ada simbol baru bagi mereka.

Sementara itu, satu lagi kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan iaitu Kedah mungkin tergugat jika Adun PAS dan Umno bergabung dan mengusulkan undi tidak percaya ke atas menteri besar Mukhriz Mahathir.

PH memenangi 18 kerusi DUN pada pilihan raya umum lalu - Amanah (3), Bersatu (5), PKR (8) dan DAP (2) - manakala Umno memiliki tiga kerusi dan PAS (15).

Kedah tumbang kepada PH pada PRU14 tahun lalu.

Bagaimanapun sekiranya berlaku kebuntuan, speaker DUN Ahmad Kassim, yang juga anggota PKR, dibenarkan untuk mengundi.

Menariknya, 21 wakil rakyat menyokong pelantikan Ahmad sebagai speaker pada Julai lalu. Ini bermakna tiga daripada 18 Adun pembangkang calon PH itu.

Lihat Komen
ADS