Pemuda Umno tolak cadangan penubuhan IPCMC
Pergerakan Pemuda Umno mengambil keputusan menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana berpendapat suruhanjaya dan badan siasatan sedia ada sudah mencukupi untuk menangani masalah dalam pasukan polis.
Pergerakan Pemuda Umno mengambil keputusan menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana berpendapat suruhanjaya dan badan siasatan sedia ada sudah mencukupi untuk menangani masalah dalam pasukan polis.
Ketua Penerangannya, Datuk Azimi Daim berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco Pemuda yang dipengerusikan sendiri oleh ketua pergerakan itu, Datuk Hishamuddin Hussein di ibu negara pada Isnin lalu.
"Pemuda Umno berpendapat penubuhan IPCMC mahu dijadikan landasan oleh pihak tertentu untuk mendedahkan kelemahan pentadbiran negara.
"Mereka sedang meracun dan mempengaruhi pemikiran rakyat supaya menerima kehendak mereka bahawa pasukan polis lemah dan sekaligus kerajaan yang ada juga lemah," katanya.
Bagaimanapun, Azimi tidak menamakan kumpulan yang cuba mengambil kesempatan daripada kelemahan pasukan polis itu.
Beliau berkata, pihak berkenaan mungkin mempunyai pengalaman sendiri berurusan dengan pihak polis dan ini menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk mensasarkan pasukan itu.
Dengar masalah polis
Katanya, adalah tidak adil, kerana hanya pengalaman buruk seorang dua, maka hendak menghukum seluruh pasukan polis lemah dan tidak bertanggungjawab.
Pemuda Umno, katanya, telah menghantar satu rombongan yang diketuai Setiausaha Pemuda, Abdul Rahman Dahalan, menemui pengurusan polis di ibu negara bagi mendengar dan cuba memahami masalah Polis.
Anggota lain ialah Datuk Subahan Kamal, Datuk Razali Ibrahim, Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Idris Haron, kesemuanya Exco Pemuda Umno.
Menurut Azimi, Pemuda Umno memberi amaran kepada pihak berkenaan jangan terlalu `menyerang dan menghukum' pasukan polis dan kerajaan kerana ia tindakan tidak adil.
Beliau berkata, malangnya rakyat juga mula terikut-ikut dengan turut memandang serong kepada pasukan polis.

