Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno, MCA kecam kenyataan 'isyarat perang' Guan Eng
Diterbitkan:  Mar 7, 2019 12:41 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Beberapa pemimpin BN mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Menteri Kewangan Lim Guan Eng susulan kenyataannya yang menyebut bahawa kerjasama Umno dan PAS sebagai "isyarat perang" terhadap masyarakat bukan Melayu di Malaysia.

Selepas laporan yang memetik kenyataannya itu disiarkan, Lim telah membuat pembetulan dengan menukar perkataan "pengisytiharan perang" kepada "menyasarkan".

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya memandang serius kenyataan Lim yang disifatkan sebagai dangkal dan boleh mencetuskan suasana tegang antara kaum di kalangan rakyat Malaysia berbilang agama dan kaum.

"Sedangkan kerjasama antara Umno dan PAS sebagaimana yang ditegaskan oleh kedua-dua kepimpinan tertinggi parti hanyalah menjurus kepada aspek penyatuan ummah yang tidak sesekali meminggirkan mahupun meremehkan mana-mana agama mahupun kaum di negara ini.

"Sesungguhnya kenyataan Lim ini hanya menyerlahkan lagi wajah sebenar pemimpin dan parti DAP yang sememangnya sejak dahulu lagi lebih cenderung kepada sifat rasis dan chauvinis.

"Malah kenyataan seperti ini jika tidak dikekang mampu mencetuskan pergolakan antara agama dan kaum sebagaimana pernah berlaku dalam Tragedi 13 Mei 1969," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Justeru, Asyraf mendesak polis dan peguam negara untuk segera bertindak dengan mendakwa Lim di bawah Akta Hasutan.

Mohon maaf terbuka

Dalam perkembangan isu sama, Presiden MCA, Wee Ka Siong turut membidas Lim dan menyifatkan kenyataannya itu sebagai menghasut.

Menurut beliau, kenyataan setiausaha agung DAP itu tidak boleh diterima dan harus dipertanggungjawabkan kerana menjurus kepada kebencian antara kaum serta menjejaskan keharmonian negara.

"Apabila anda secara terbuka menyebut ia sebagai pengisytiharan perang maka anda sebenarnya sedang menambah api kemarahan.

"Anda juga secara tidak langsung telah menjemput pihak lawan untuk menyambut 'pengisytiharan perang' tersebut.

"Saya tidak dapat membayangkan implikasinya jika Lim tidak menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka," katanya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Reezal Merican Naina Merican pula mendakwa Lim sebagai masih hidup dalam dunia politik DAP "yang terlalu rasis".

"Ini manifestasi DNA pemimpin DAP yang penuh cauvinisme dan tidak pernah senang dengan gerak perpaduan orang Melayu.

"Sikap dan DNA seperti Lim inilah yang merosakkan keharmonian kaum di Malaysia. Penyatuan fikrah orang Melayu terlalu pantas dianggap sebagai 'gendang perang', sedangkan bukan itu niat asalnya," katanya.

Petang semalam, Lim mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Cina menggesa MCA meninggalkan BN kerana menurutnya Umno dan PAS kini "mengisytiharkan perang" kepada masyarakat non-muslim.

Lim berkata kerjasama Umno dan PAS dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands dan PRK Semenyih menyaksikan kedua-dua parti itu membuat kenyataan "ekstremis".

Beliau turut mendakwa PAS dan Umno melaga-lagakan antara orang Melayu dan kaum lain.

Lewat tengah malam semalam, Lim mengeluarkan pembetulan dalam kenyataan asalnya untuk menggantikan perkataan "mengisytiharkan perang" kepada "menyasarkan".

Lihat Komen
ADS