Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rameli orangnya alim, 'gentleman' - Clare
Diterbitkan:  Mar 8, 2019 10:23 AM
Dikemaskini: 2:31 AM

Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown memuji Pengerusi KTMB Rameli Musa, yang didakwa telah membayarnya RM1.4 juta bagi pihak presiden PAS Abdul Hadi Awang.

"Saya (sebenarnya) tidak berhasrat memberitahu ini, beliau (Rameli) seorang lelaki 'gentleman' yang sangat dihormati. Saya fikir beliau telah banyak membantu PAS secara kewangan selama ini dan telah menjadi penaung Hadi yang baik atas tujuan yang paling murni.

"Saya fikir beliau seorang lelaki yang sangat alim (taat beragama), dan saya fikir beliau sangat kecewa dengan masalah yang dibawa Hadi ke dalam parti itu dan beliau mencuba untuk mengeluarkan PAS daripada kes mahkamah yang memalukan itu.

"Dia telah menjadi seorang lelaki yang beradab tertib (gentleman), dan saya kasihan apabila beliau perlu diseret ke dalam (permasalahan) ini," kata Rewcastle-Brown kepada Malaysiakini malam tadi.

Akaun palsu

Editor Sarawak Report itu tidak menamakan Rameli apabila mula-mula mendedahkan seorang perantara yang bertindak bagi pihak Hadi membayarnya RM1.4 juta untuk membolehkan presiden PAS itu menyelesaikan kes saman fitnahnya terhadapnya.

Bagaimanapun, identiti beliau kemudian didedahkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang cuba menyangkal dakwaan PAS bahawa akaun yang digunakan untuk membayar wang penyelesaian saman fitnah adalah palsu.

Rameli telah dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan mengenai perkara itu pada hari Selasa lalu dan telah menyerahkan dokumen kepada pihak bekuasa.

Transaksi itu berlaku pada bulan awal tahun ini. Rameli hanya dinaikkan pangkat menjadi pengerusi KTMB pada bulan Februari.

Hadi menafikan sama ada dirinya atau PAS telah melunaskan bayaran kepada Rewcastle-Brown.

Hadi tolak tawaran sebelum PRU14

Presiden PAS berkata menjelang PRU14, "terdapat pihak" yang telah menghubungi beliau untuk menyelesaikan samannya terhadap editor Sarawak Report. 

Bagaimanapun, kata Hadi beliau menolak tawaran tersebut pada masa itu kerana mengambil kira faktor pilihan raya umum.

Rewcastle-Brown berkata beliau pertama kali bertemu dengan Rameli di Kuala Lumpur ketika editor Sarawak Report itu sedang mengumpulkan maklumat latar belakang PAS.

Menurut Clare, pada tahun lalu beliau tiba-tiba dihubungi Rameli yang memberitahu mahu bertemunya di London, yang berlangsung hujung Disember 2018.

"Pada pertemuan itu, beliau memberitahu saya orang-orang di sekitar Hadi terdesak untuk membuat perjanjian dan beliau telah bersetuju (untuk membantu), mungkin bertentangan dengan pertimbangannya yang lebih baik.

"Beliau (Rameli) berniat baik untuk parti itu dan beliau sangat bersimpati dengan Hadi," katanya.

Peguam tak terima beg berisi wang tunai

Walau bagaimanapun, Clare berkata beliau menolak tawaran awal Hadi untuk membayar GB£ 100,000 untuk menyelesaikan saman itu.

Berikutan itu, Rameli terpaksa berulang-alik menghubungi antara beliau dan Hadi dan PAS, sehingga jumlah RM1.4 juta dicapai.

"Adalah jelas bahawa Hadi telah dirundingkan pada setiap masa dan begitu juga orang-orang di sekelilingnya," katanya lagi..

Rewcastle-Brown juga mendakwa mungkin PAS tidak akan membayar balik kepada Rameli atas bantuan yang telah dihulurkannya.

"Ia sangat mungkin terjadi dan saya mengesyaki kemungkinan PAS, setelah mengatakan mereka akan membayar wang itu, kemudiannya tidak (berbuat demikian) dan mungkin juga PAS tidak akan membayarnya kembali kepada Rameli.

"Beliau (Rameli) menulis cek itu kerana peguam saya tidak akan menerima tawaran beg berisi wang tunai dari PAS, jadi Rameli bersetuju untuk menandatangani surat bertarikh cek bertarikh (post dated) bagi memberikan beliau masa 10 hari untuk mendapatkan wang sebelum saya dapat menunaikan cek berkenaan.

"Sama ada PAS akan memenuhi tanggungjawabnya atau tidak untuk membayar balik wang Rameli itu saya tidak tahu, tetapi Rameli sebagai ahli perniagaan pastinya akan bertanggungjawab terhadap cek yang dikeluarkannya," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS