Most Read
Most Commented
Read more like this

Terjemahan Lima bulan selepas berlangsungnya pilihanraya kampus, Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang masih lagi menerus langkah memburu pelajarnya untuk dikenakan tindakan disiplin.

Empat orang pelajar USM menghadapi tindakan disiplin dan telah dipanggil untuk menghadiri sesi siasatan pada 22 Februari.

Menurut seorang pelajar terbabit, Wong Weng Hoo, empat pelajar termasuk dirinya, telah menerima surat daricjabatan hal-ehwal pelajar mengenai perkara itu Selasa lalu. Surat bertarikah 7 Februari itu ditandatangani penolong pendaftar Haryani Hasenan.

Wong, pelajar tahun dua jurusan Kimia, menghadapi tuduhan membuat kenyataan dalam satu sidang akhbar yang diadakan di USM pada hari pengundian.

Yang lainnya, yang enggan nama mereka disiarkan, menghadapi tuduhan mengedar risalah tanpa kebenaran yang menggesa pelajar supaya memulaukan pilihanraya kampus itu.

Di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971, pelajar tidak dibenarkan bercakap kepada pihak media atau menyebar sebarang bahan tanpa kebenaran bertulis daripada naib canselor universiti.

"Daripada menyusahkan pelajar, pihak universiti sepatutnya lebih mengambil berat isu-isu mengenai kampus seperti kenaikan yuran, bayaran asrama, internet dan kenaikan kes jenayah di kampus," kataya.

Dalam satu kenyataan semalam, satu kumpulan pelajar yang menggelarkan diri mereka Barisan Progresif Pelajar USM mengecam pihak berkuasa universiti kerana melanggar hak pelajar dan menyifatkan tindakan universiti itu sebagai 'ketinggalan zaman, kontroversi dan tidak masuk akal".

"Kami sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada pihak peguam bagi memastikan sesi siasatan tersebut berjalan secara adil dan telus," kata jurucakap keempat pelajar terbabit, Lee Huat Seng ketika dihubungi.

Siasatan ditangguhkan

Budaya politik di universiti tempatan berpusat kepada pertembungan dua kumpulan yang dikenali sebagai kumpulan 'pro-establishment' dan 'anti-establishment.

Sewaktu pemilihan kampus September lalu, kumpulan'pro-establishment', buat pertama kalinya, menguasai kesemua 17 universiti termpatan, di tengah-tengah dakwaan berlakunya penyelewengan dan diboikot oleh lawan mereka.

Sesetengah pelajar yang terbabit dalam boikot tersebut kemudiannya berdepan dengan tindakan disiplin daripada pihak universiti masing-masing.

Kumpulan 'anti-establishment' kemudiannya melancarkan siri kempen dan demonstrasi melalui Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sebuah gabungan kebangsaan yang ditubuhkan oleh kumpulan pelajar 'anti-establishment'.

Bagaimanapun, sehingga hari ini tiada pelajar yang dikenakan hukuman dan semua sesi siasatan telah ditangguhkan. Selepas satu siri bantahan diadakan dan seorang menteri dan pertubuhan sivil menyuarakan sokongannya terhadap pelajar, ramai yang menyangka tindakan memburu pelajar sudah berakhir, Malangnya, keadaan sebaliknya berlaku di USM.

Hidup dalam ketakutan

"Tindakan USM itu menunjukkan, selagi kes itu tidak ditutup, pihak berkuasa universiti akan terus mengambil tindakan terhadap pelajar," kata jurucakap SMM Kong Wee Cheng ketika dihubungi.

"Pelajar kini tinggal dalam ketakutan," tambahnya.

Ketua bahagian Belia, Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Tan Soon Lim berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada pertubuhan lain untuk menyuarakan sokongan mereka kepada pelajar.

Sementara itu, penyelaras Suaram Chang Lih Kang berkata, Auku mesti dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang baru bagi menyelesaikan masalah yang ada. Berita asal


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS