Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Timb menteri teliti dakwaan k'jaan lulus 38 pemegang AP baru
Diterbitkan:  Mar 8, 2019 2:10 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kiang Ming sedang cuba mengesahkan dakwaan sebuah portal automotif bahawa kerajaan telah meluluskan 38 pemegang permit import kereta (AP) baru.

Dalam mesej kepada Malaysiakini hari ini, ahli parlimen DAP itu berkata beliau sedang menyemak dengan bahagian AP di kementeriannya.

Dalam artikel yang diterbitkan semalam, DS&F (Drive Safe and Fast) berkata mengetahui perkara ini daripada pemegang AP yang lama.

"Beliau telah mengesahkan kepada kami terdapat 38 pemegang AP baru di Malaysia. Ya, kerajaan baru telah memberikan 'hak' kepada 38 pengimport kereta yang baru untuk membuat duit dengan 'cara mudah'.

"Daripada apa yang kami temukan, kebanyakan pemegang 38 AP baru telah mula bercakap dengan pemegang AP sedia ada untuk 'membeli' AP daripada mereka (pemegang permit import baru) kerana mereka tidak berada dalam perniagaan kereta dan sebaliknya hanya mahukan bayaran sebanyak RM18,000 hingga RM22, 000 untuk (setiap) satu AP," kata portal itu.

Menurut DS&F, kuota tahunan yang biasanya diberikan kepada pemegang AP yang telah lama dikurangkan untuk menampung penerima AP baru ini.

"(Ini) bermakna jumlah keseluruhan AP yang dikeluarkan masih kekal sama. Cuma kekayaan AP sekarang dibahagikan pula secara sama rata dengan 38 pemain baru yang kebanyakannya menjual AP mereka dan tidak melakukan perniagaan import kereta," katanya lagi.

Yang layak saja dapat AP

Dalam wawancara bersama BFM pada November lalu, Ong berkata kerajaan tidak merancang untuk menghapuskan sistem AP tetapi akan mengkaji semula untuk memastikan tidak berlaku penyalahgunaan.

"Tiada rancangan sekarang untuk menghapuskan sistem AP, saya rasa apa yang kami cuba lakukan sekarang adalah untuk mengkaji semula sistem ini supaya kamu tidak berhadapan keadaan di mana 'perniagaan Ali Baba' digunakan dalam proses AP, di mana orang hanya memohon AP ini supaya menjadi pemegang permit dan kemudian menjualnya kepada orang lain pada harga yang meningkat," katanya menjelaskan proses itu disemak semula untuk memastikan pihak yang layak saja mendapat AP.

Berucap di Kongres Ekonomi Bumiputera pada September lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pada masa lalu, banyak peluang perniagaan telah diberikan kepada bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB), tetapi ramai yang menjual kontrak dan AP untuk mengaut keuntungan.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan akan membatalkan kontrak dan AP yang diberikan kepada mereka jika mereka menjualnya kepada pihak ketiga.

Ketika kali pertama menjadi perdana menteri, pentadbiran Mahathir dilanda skandal AP yang melibatkan bekas menteri Rafidah Aziz.

Dua tahun selepas bersara pada tahun 2003, kedua-duanya mengeluarkan kenyataan mengenai isu itu, di mana Mahathir mendakwa Rafidah memberi gambaran yang tidak tepat kepada perwakilan Umno mengenai isu AP.

Pada waktu itu, Rafidah yang juga berkempen untuk pengerusi PH pada PRU14 lalu berkata Dr Mahathir mungkin tidak ingat fakta tertentu.

Bagaimanapun, kemudian Mahathir memberikan maklum balasnya terhadap kenyataan Rafidah berkata: "Walaupun saya berusia 80 tahun, saya tidak nyanyuk."

Mahathir juga mendakwa bahawa AP hanya memperkayakan individu tertentu, dan memaklumkan bagaimana dua atau tiga individu tanpa ruang pameran jualan kereta boleh mendapat beribu-ribu permit tersebut.

Lihat Komen
ADS