Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | “Wahai orang-orang yang beriman, tidak halalkan bagi kamu untuk mewariskan perempuan secara paksa dan janganlah kamu menyakiti mereka kerana kamu ingin mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka…” - Surah Al Nisaa’ ayat 19

Islam tidak datang dalam suasana yang hampa dan kosong dari latar sejarah kemasyarakatan dan kemanusiaan. Sebaliknya al-Quran merespon terhadap praktik dan apa yang terjadi terhadap masyarakat Arab sewaktu penurunannya.

Di zaman jahiliah, seorang perempuan tidak mendapatkan penghormatan selayaknya seorang manusia, malah status mereka seperti barang dagangan yang boleh diwariskan apabila suaminya meninggal dunia.

Ibn Katsir sewaktu mentafsirkan ayat ini menyatakan – ayat ini turun tentang Kubaisyah binti Ma’an bin Ashim bin Al Aus, setelah suaminya, Abu Al Qais Al Aslat meninggal dunia, dia akan dikahwinkan dengan anak lelaki suaminya, lalu dia mendatangi Rasulullah SAW dan mengadu:

“Wahai Rasulullah aku bukan barang warisan suamiku dan aku tidak mahu dikahwini…”

Lalu Allah menurunkan ayat ini. (Tafsir Al Quran Al Adzhim juz 3 hal 396-397)

Wacana keislaman di abad ke-21 tidak sewajarnya pegun dan statik seolah-olah kita masih hidup sezaman dengan Abu Jahal.

Al Qarafi mengatakan: “…kamu tidak boleh terpaku pada teks-teks yang kamu baca di kitab-kitab sepanjang hidupmu. Jika seseorang dari luar negerimu datang untuk bertanyakan fatwa janganlah engkau berfatwa berdasarkan adat, tradisi dan kitab-kitab di tempatmu sebaliknya tanyakan bagaimana adat dan tradisi di tempatnya. Jika kamu tetap berfatwa dengan adat, tradisi dan kitab-kitab kamu tanpa peduli keadaanya maka kamu telah sesat dan tidak memahami maksud para ulama dan generasi awal Islam…’ (Al Furuq Juz 2 hal 176)

Perlu digarisbawahi bahawa kontekstualisasi teks-teks keislaman bukanlah sesuatu yang baru atau agenda orientalis barat seperti yang didakwa oleh kebanyakkan orang.

Al Syathibi dalam Al Muwafaqat menekankan betapa pentingnya bagi para pengkaji al-Quran untuk memahami bukan sekadar sejarah dan konteks penurunan sesuatu ayat al-Quran tetapi juga tradisi dan kebudayaan Arab yang melatari teks-teks keagamaan.

Kontekstualisasi teks keagamaan tentang perempuan abad ke-21

Perbincangan tentang Islam dan feminisme bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia intelektual Islam. Bahkan sejak berpuluh tahun kebelakangan ini banyak literatur-literatur tentang Islamic feminism sudah diterbitkan.

Ia juga telah menjadi salah satu bidang kajian di institusi-institusi pengajian tinggi di dalam dan di luar negara. 

Penerimaan di kalangan Muslim, khususnya di Malaysia masih pelbagai. Ada yang dengan senang hati merangkul feminisme sebagai sebahagian dari tubuh Islam dan tidak kurang juga yang bersikap sebaliknya.

Apakah sebenarnya feminisme? Adakah feminisme merupakan satu gerakan subversif tajaan Barat yang bercita-cita untuk merubah kesakralan Islam? Adakah feminisme anti-lelaki?

Feminisme bagi saya adalah upaya untuk mendengarkan suara dan pengalaman perempuan sepertimana Rasulullah SAW mendengarkan suara Kubaisyah binti Ma’n yang tidak rela untuk diwariskan dan dikahwinkan dengan anak lelaki suaminya.

Feminisme adalah mendengarkan dan merespon ketidakadilan yang dirasai oleh perempuan sepertimana Rasulullah SAW mendengarkan ketidakpuasan hati Ummu Salamah bahawa para perempuan merasa dianaktirikan kerana al-Quran sering menyebut tentang lelaki dan melupakan mereka.

Suara Ummu Salamah direspon langsung oleh Allah melalui Surah Al Ahzab ayat 35. Malangnya, hari ini jika ada perempuan seperti Kubaisyah atau Ummu Salamah pasti mereka akan dilabel liberal atau diugut-ugut dengan fatwa dan neraka.

Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W, penyudutan dan marginalisasi perempuan dalam teks-teks fikah Islam terus berlaku dan begitu jelas sehingga sulit sekali membantah keberadaan diskriminasi terhadap perempuan.

Al Zamaksyari misalnya dalam Tafsir Al Kaysaf sewaktu mentafsirkan Surah Al Nisaa’ ayat 34 – “Lelaki adalah al qawwam kepada perempuan kerana Allah telah melebihkan mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian harta mereka…” – menyatakan status lelaki lebih superior/utama daripada perempuan kerana Allah SWT telah memberikan kepada lelaki kelebihan dari segi akal (al aql), ketegasan (al hazm), semangat (al ‘azam), kekuatan (al quwwah), keberanian (al furusiyah) dan ketangkasan (al ramy).

Kerana kelebihan-kelebihan ini kenabian, keulamaan dan kepimpinan diberikan kepada lelaki dan bukan kepada perempuan. (Tafsir Al Kasyaf juz 1 hal 523)

Setarikan nafas yang sama, Ibn Katsir di dalam Tafsir Al Quran Al Adzhim menyatakan bahawa lelaki secara semula jadinya adalah pemimpin, penguasa, hakim dan pendidik bagi perempuan serta tidak diragukan lagi kedudukan lelaki lebih utama dibandingkan dengan perempuan dan kerana itulah kenabian dan kepemimpinan tertinggi diberikan kepada lelaki dan bukan kepada perempuan. (Juz 1 hal 491)

Bahkan sekiranya kita membaca teks-teks fikah tentang kepemimpinan baik kepimpinan sebuah negara atau institusi-institusi umum seperti kehakiman, para ulama mensyaratkan kepimpinan tersebut hanya boleh diisi oleh seorang lelaki.

Kerana menurut mereka lelaki itu “kamal al ra’yi wa tamam al aql wa al fathanah” (lebih sempurna pandangannya, cerdas akalnya dan cerdik) dibandingkan dengan perempuan yang menurut mereka “naqishat al aql wa qalilat al ra’y” (kurang akalnya dan sedikit logiknya).

Tidak cukup di situ, diskriminasi dan marginalisasi perempuan boleh dilihat dalam perbincangan fikh perkahwinan. Abdul Rahman Al Jaziri dalam Al Fiqh ‘ala Mazahib Al Arba’ah mendifinisikan perkahwinan sebagai - “perjanjian syarie yang memberikan hak kepada suami untuk memanfaatkan alat kelamin isteri dan seluruh tubuhnya untuk kenikmatannya (suami)” (Juz 4 Hal 2).

Imam Al Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin pula mengumpamakan ikatan perkahwinan di antara lelaki dan perempuan seperti perhambaan (nau’u riqq) dan isteri diibaratkan seperti hamba dalam perkahwinan (raqiqah lahu) yang wajib mentaati dan menuruti kemahuan suaminya pada bila-bila masa sahaja yang dikehendaki. (Juz 2 Hal 57).

'Al abawy' yang memasung perempuan

Feminisme tidak memusuhi lelaki atau ulama lelaki, tetapi nilai-nilai al abawy (patriakhi) yang cuba dilembagakan sebagai sebahagian dari aturan-aturan dan prinsip-prinsip Islam yang kemudiannya dipaksakan kepada perempuan seperti yang dicontohkan di atas.

Saya bersangka baik, pernyataan-pernyataan seperti itu, sekiranya dibaca pada masa ia ditulis (mungkin) tidak kedengaran begitu offensive. Tetapi apabila ia dibaca pada abad ke-21 ketika perempuan tidak lagi seperti ratusan tahun dahulu sewaktu teks-teks tersebut ditulis ia terlihat zalim dan tidak berperikemanusiaan. Adakah ini Islam yang ingin kita gambarkan?

Di Malaysia, kita sudah melantik Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Hakim Besar Malaya, Hakim Mahkamah Persekutuan dan Rayuan di kalangan perempuan.

Timbalan perdana menteri perempuan, bahkan ramai perempuan-perempuan Muslim yang memegang jawatan-jawatan penting dan mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Di universiti, bilangan mahasiswi lebih ramai daripada mahasiswa dan ramai juga antara mereka yang pencapaian akademiknya lebih baik jika dibandingkan dengan mahasiswa.

Malaysia juga telah meratifikasi konvensyen penghapusan semua bentuk diskriminasi terhadap perempuan (Cedaw) bahkan perkara 8 perlembagaan persekutuan menyatakan setiap orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama tanpa mengira kaum, agama atau jantina.

Adakah kita masih lagi membaca –“Tidak akan beruntung suatu kaum jika menyerahkan urusan kepimpinannya kepada seorang perempuan…”(Sahih Bukhari hadis no 4,425) ketika seorang perempuan ingin dilantik menjadi pemimpin?

Teks-teks klasik dan tafsiran yang mengatasnamakan Islam tetapi bersifat diskriminatif dan misagonis terhadap perempuan harus dibaca ulang dan ditafsirkan semula. Upaya mentafsirkan semua ajaran Islam yang lebih inklusif dan merangkul segenap umat bukanlah perkara baru di dalam agama, jauh sekali mengubah wahyu seperti sangkaan sebahagian orang.

Sebaliknya, pembaharuan dan reformasi ini diperlukan dalam rangka tathbiq al hukm (pelaksanaan hukum) agar sesuai dan relevan dengan perkembangan zaman.

Nadzirah Zainuddin, seorang feminis dan cendekiawan Muslim menyatakan – “Jika perempuan mempunyai hak untuk terlibat dalam persoalan hukum-hakam agama, dia juga berhak berijtihad sama ada melalui pentafsiran atau pentakwilan nas-nas keagamaan.

“Bahkan, perempuan lebih berhak mentafsirkan ayat-ayat yang berkaitan dengan hak dan kewajipannya kerana dia lebih mengetahui tentang dirinya daripada orang lain…” (Al Fatat Wa Al Syuyukh hal 179).

Jadilah perempuan feminis yang melawan. Selamat Hari Perempuan Antarabangsa.


AFIQ MOHD NOOR ialah penyelidik di Lingkaran Islam Tradisional (LIT).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS