Paling Popular
Terkini

Statistik yang dikeluarkan Klinik Bantuan Telenisa menunjukkan kes undang-undang berhubung poligami meningkat dengan kadar yang tinggi setiap tahun.

Tahun lalu, terdapat 176 kes poligami direkodkan oleh klinik khidmat nasihat itu, yang menyediakan guaman percuma mengenai hal-hal berkait Undang-undang Keluarga Islam Syariah.

Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 66 peratus berbanding 106 kes pada 2017. Klinik di bawah kendalian NGO Sister In Islam (SIS) itu menangani 75 kes pada 2016.

Pengurus Program SIS Shareena Sheriff berkata kebanyakan aduan berkaitan poligami adalah dari kalangan isteri yang suaminya berkahwin lain tanpa pengetahuan mereka.

Jelas Shareena, hal itu demikian kerana pindaan undang-undang pada 1994 dan 2006 yang memudahkan poligami secara rahsia.

Shareena berkata, menurut undang-undang syariah, perkahwinan kedua atau ketiga perlu mendapatkan kebenaran mahkamah dan tidak seharusnya menjejaskan taraf hidup isteri pertama.

Bagaimanapun, susulan pindaan itu, kata Shareena, kebanyakan lelaki Muslim berkahwin secara rahsia di sempadan Thai bagi melepasi ketetapan mahkamah syariah.

"Ini merupakan kelemahan undang-undang kita. Mereka (suami) boleh pulang ke Malaysia untuk pendaftaran. Jadi perkahwinan itu dapat dirahsiakan," katanya pada pelancaran Statistik dan Dapatan Telenisa 2018 di Kuala Lumpur hari ini.

Shareen menambah bahawa banyak perkahwinan yang tidak didaftarkan di Malaysia dan menyebabkan pelbagai masalah terutamanya apabila berlaku perceraian atau suami meninggal dunia.

Status isteri dan anak-anak akan tidak jelas dan menjejaskan jaminan hak kewangan dan ekonomi mereka, kata Shareena.

Selain poligami, Klinik Bantuan Telenisa turut menangani aduan daripada isteri yang suaminya tidak lagi menampung kehidupan isteri dan anak dari segi pemberian nafkah selepas suami berkahwin lain.

Telenisa juga mendedahkan tuntutan fasakh mewakili 35.2 peratus daripada 272 kes keseluruhan. Fasakh merujuk kepada perceraian yang dituntut isteri apabila suami enggan menceraikan mereka.

Ia merupakan jumlah tertinggi dari lima bentuk lain yang membatalkan perkahwinan di bawah Undang-undang Keluarga Syariah (Wilayah Persekutuan) Akta 1984 (IFLA).

Telenisa mempunyai 576 pelanggan dengan 411 merupakan pelanggan baru tahun lalu, yang majoriti terdiri daripada wanita, sementara lelaki mewakili 11 peratus dari jumlah keseluruhan pelanggan klinik itu.

Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Hannah Yeoh turut hadir pada program itu dan mengumumkan peruntukan RM20,000 untuk SIS.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS