Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan terus susahkan kami, keluh komuniti nelayan P Pinang

Komuniti nelayan Tanjung Tokong di Pulau Pinang mengadakan bantahan terhadap cadangan projek Penambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) kerana mereka enggan melihat komuniti nelayan di sana hilang pendapatan seperti mereka.

Mereka beranggapan kerajaan negeri tidak mengambil tauladan daripada kesalahan pentadbiran lalu.

Semalam Timbalan Ketua Flat Tanjung Tokong Fasa 4A Abdul Satar Haris berkata pendapatan nelayan di kawasannya terjejas teruk selepas projek penambakan Seri Tanjong Pinang 2 yang dimulakan pentadbiran Gerakan-BN terdahulu.

"Kami tidak ingin lihat perkara sama terjadi kepada kawan-kawan di selatan. Pantai Permatang Damar Laut, Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar perlu dipelihara untuk generasi masa depan," katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk laporan Sahabat Alam Malaysia bertajuk Kesan-kesan Penambakan Laut di Malaysia yang menunjukkan bagaimana hak nelayan terhakis ekoran projek itu, serta pelbagai kerosakan kepada alam sekitar.

Semalam Abdul Satar menyertai bantahan oleh sekumpulan nelayan dan aktivis di Tanjung Tokong.

Mereka mengangkat sepanduk dan menggesa kerajaan Pulau Pinang belajar daripada kesilapan lalu berkenaan penambakan laut, bukan mengulanginya dan menyebabkan kesusahan kepada penduduk yang tidak di kawasan yang terlibat.

Selain itu mereka mahu kerajaan negeri menangguhkan PSR yang bertujuan mewujudkan tiga pulau buatan di bahagian selatan negeri itu.

"Ratusan ekar kawasan menangkap ikan di Tanjung Tokong, Gurney Drive dan Pantai Jerjak telah dimusnahkan oleh penambakan.

"Kini rakan usaha sama kerajaan negeri dalam projek itu mahu menambak 4,500 ekar laut di selatan, kira-kira sama saiznya dengan Forest City di Johor.

"Mereka mahu bina kondominium mewah di tanah yang ditambak. Siapa yang mampu membelinya melainkan orang luar? Apa beza projek ini dengan Forest City?" soal Abdul Satar.

Minggu lalu, beberapa NGO termasuk Sahabat Alam Malaysia, Penang Forum dan Persatuan Pengguna Pulau-Pinang (CAP) juga mengadakan bantahan berhubung projek itu.

Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion sebelum ini dikritik sebagai tidak lestari oleh beberapa NGO kerana dikatakan akan menyebabkan komuniti nelayan hilang pendapatan dan tempat tinggal, selain menjejaskan alam sekitar.

'Persepsi dan salah tanggapan'

Kerajaan negeri mempertahankan pelan itu dengan berkata ia akan menambah baik jaringan perhubungan dan pembinaan lebuh raya, rel dan pengangkutan lain akan menyelesaikan masalah kesesakan di negeri itu.

Minggu lalu, exco kerajaan negeri Dr Afif Bahardin berkata kerisauan nelayan bahawa projek penambakan akan mengancam pendapatan mereka hanyalah "persepsi dan salah tanggapan".

Bagaimanapun seorang nelayan berkata penambakan di Seri Tanjung Pinang pada 2006 menjejaskan hasil tangkapan mereka sebanyak 20 peratus.

"Hari ini kami rugi 60 peratus kerana projek penambakan yang masih berterusan," kata Ismail Din, 71, yang turut menyertai bantahan semalam.

Ketua Komuniti Nelayan Tanjung Tokong Mohd Ishak Abdul Rahman, 72, menggesa kerajaan negeri memberi pampasan dalam bentuk bot yang lebih besar, jaring yang lebih kuat dan enjin berkualiti tinggi kepada nelayan.

Katanya ia bagi membolehkan mereka menangkap ikan di kawasan yang lebih jauh daripada pantai.

Lihat Komen
ADS