Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Label kerjasama Umno-PAS sebagai Taliban berniat jahat'
Diterbitkan:  Mar 9, 2019 6:48 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Tindakan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming melabelkan kerjasama PAS dan Umno sebagai Taliban disifatkan sangat berniat jahat, kata Anggota Jawatankuasa PAS pusat, Dr Khairuddin Aman Razali

"Puluhan tahun Kelantan ditadbir oleh PAS adakah Kelantan seperti Taliban, Afghanistan? Rakyat Kelantan hidup aman dan damai.

"Namun, baru 10 bulan memerintah DAP tersangat ekstrem berpolitik, cuba merungkaikan banyak asas-asas perlembagaan melibatkan hak Islam dan Melayu yang boleh menimbulkan pertembungan kaum," katanya dalam kenyataan.

Kata Khairuddin, DAP sangat takut terhadap penyatuan politik di atas nama Islam Melayu selepas berkuasa sejak 10 bulan lalu.

"Justeru, DAP sengaja mencipta persepsi jahat terhadap penyatuan kuasa politik Islam dengan label "Taliban". 

"Serangan bertujuan mencipta persepsi sudah menjadi darah daging DAP dalam politik Malaysia," katanya.

Terdahulu, Nga dilapor berkata Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kerjasama Umno dan PAS berjaya membentuk kerajaan.

Sin Chew Daily memetik timbalan speaker Dewan Rakyat itu berkata, keadaan itu tidak boleh diperbetulkan dan akan memecah-belahkan rakyat dengan garis kaum dan agama.

“Umno dan PAS telah mengambil tindakan bersama yang semakin ekstrem manakala golongan Melayu yang sederhana dan berfikiran terbuka sebaliknya berdiam diri,” katanya, seperti dalam satu majlis di Taiping semalam.

Selasa lalu, Umno dan PAS dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas kedua-dua parti itu mengumumkan kerjasama rasmi dengan agenda utama memfokuskan kepada penyatuan ummah.

'Cukup-cukulah DAP'

Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak berkata kenyataan Nga merupakan satu bentuk hasutan perkauman yang "amat melampau" daripada DAP.

"Umno, PAS, MCA dan MIC merupakan antara 9 parti pengasas apabila BN ditubuhkan pada tahun 1974. 

"Umno dan PAS pernah bekerjasama dahulu dan negara terus makmur, tidak seperti yang digambarkan oleh Nga Kor Ming.

"Cukup-cukuplah DAP. Hentikan permainan hasutan perkauman anda. Hentilah melaga-lagakan rakyat bukan Islam dengan orang Islam," katanya.

Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan sikap berdiam menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof mengenai perkara itu.

"Menteri jaga agama dari 'Wakanda'  buat apa? Tak ada komen, ke?"soalnya.

Najib juga menjangkakan tiada tindakan akan diambil terhadap pemimpin DAP  yang secara bebas mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Lihat Komen
ADS