Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2,222 kes wabak denggi di Johor dari Jan-Mac tahun ini
Diterbitkan:  Mar 9, 2019 6:55 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Negeri Johor merekodkan 2,222 kes denggi pada suku pertama tahun ini, sejak Januari hingga 2 Mac lalu, manakala daerah Johor Bahru pula mencatat bilangan kes tertinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal dipetik Bernama berkata sepanjang tempoh itu terdapat enam kes kematian akibat demam denggi berbanding tiga kematian dalam jangka waktu yang sama pada tahun lalu.

"Berlaku peningkatan kes denggi sebanyak 99.6 peratus manakala peratus kematian meningkat 100 peratus," katanya.

Bernama melaporkan beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, di Johor Bharu hari ini.

Dr Sahruddin berkata faktor utama berlakunya peningkatan kes denggi disebabkan kurangnya menjaga aspek kebersihan.

Satu kematian di Pahang, Kedah

Sementara itu, di Pahang pula Timbalan pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Dr Mohamed Sapian Mohamed memaklumkan terdapat 248 kes demam denggi dengan satu kematian di negeri itu dalam tempoh Januari hingga 2 Mac tahun ini. 

Pada tempoh yang sama tahun lalu, kata Mohamed tiada kematian dicatatkan.

"Setakat ini, kita telah membuat pemeriksaan terhadap 82, 982 premis seperti rumah, kedai dan kilang dengan 221 premis dikenakan kompaun bernilai RM110,500 manakala sembilan kes dibawa ke mahkamah," katanya, lapor Bernama pada Program Gotong-Royong Perangi Aedes dan Hari Bersama Sukarelawan Combi Peringkat negeri di Taman Peramu Jaya 1 di Pekan, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, terdapat sebanyak 473 kes demam denggi dicatatkan di Kedah dalam tempoh dari Januari hingga 2 Mac lepas berbanding 193 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Dr Ismail Salleh dipetik Bernama berkata lapan daerah menunjukkan peningkatan kes dengan Kulim mencatatkan kes tertinggi 136 kes berbanding 38 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Kota Setar pula menjadi daerah kedua tertinggi dengan 110 kes berbanding 22 kes, diikuti Kuala Muda (110 berbanding 46), Yan (22 berbanding empat), Sik (15 berbanding enam), Langkawi (12 berbanding empat), Baling (15 berbanding 10 kes) dan Bandar Baharu (tiga berbanding 0).

“Bagaimanapun, beberapa daerah menunjukkan penurunan seperti Pendang dengan empat kes berbanding 14, Kubang Pasu (27 berbanding 29) dan Padang Terap (19 berbanding 20 kes),” katanya.

Ismail yang hadir Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0” peringkat negeri, di Kulim, hari ini berkata satu kes kematian dilaporkan tahun ini, iaitu jumlah sama dengan tempoh yang sama tahun lepas.

“Kes kematian ini melibatkan seorang warga emas berumur 65 tahun yang menetap di Taman Ria Jaya, Kuala Muda dan pesakit turut menghidap beberapa penyakit kronik lain.

“Sebanyak 785 kompaun berjumlah RM380,100 telah dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan 48 notis bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes,” katanya.

Lihat Komen
ADS