Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saya difitnah, kata Streram ulas laporan polis MP PKR terhadapnya

PRK RANTAU | Penyelaras Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Rantau, Dr S Streram menegaskan beliau difitnah tidak membayar balik pinjaman kewangan daripada seorang ahli parlimen PKR.

Sambil mengesahkan menerima pinjaman kewangan daripada individu tersebut, Streram memberitahu telahpun membayar balik pinjaman berkenaan.

"Saya mengakui memang menerima pinjaman daripada MP tersebut. Tetapi, telah pun membayar balik sepenuhnya," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, dakwaan beliau tidak membayar pinjaman tersebut adalah fitnah yang sengaja disebarkan oleh segelintir orang dalam PKR sendiri yang cuba merosakkan imej beliau.

Untuk rekod, sejak semalam tular di media sosial mesej yang isi kandungannya menyebut MP Segamat Dr Edmund Santhara membuat laporan polis terhadap Streram atas dakwaan beliau tidak membayar balik pinjaman dibuat bagi tujuan pembelajaran anaknya.

"Saya tidak pasti sama ada, MP tersebut membuat laporan polis terhadap saya. Tetapi, saya sudah pun membayar balik pinjamannya. Ada orang sengaja cuba viral isu ini untuk agenda peribadi," jelas bekas calon PKR di DUN Rantau itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini Santhara yang merupakan anggota PKR mengesahkan beliau membuat laporan polis itu.

Katanya, wang tersebut adalah tabungan pendidikan anaknya yang mengambil masa bertahun-tahun untuk disimpan.

Ya. Ia tabungan (pendidikan) anak saya yang berusia tujuh tahun. Saya mengambil masa bertahun-tahun untuk menyimpan wang sebanyak RM62,000 itu," katanya.

Mengulas kenyataan Streram yang telah melangsaikan hutang tersebut, MP PKR itu menuntut supaya bekas calon PH di DUN Rantau itu mengemukakan bukti pembayaran balik pinjaman kepada pihak polis.

"Kalau Streram kata dah selesai maka dia perlu kemukakan bukti pembayaran kepada pihak polis," katanya lagi.

Streram calon PH di PRK Rantau?

Sementara itu, sumber dalaman PKR memberitahu Streram telah dipilih sebagai bakal calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau mewakili Pakatan Harapan.

Menurut sumber PKR itu, pucuk pimpinan parti telah mengambil keputusan pada 7 Mac lalu untuk meletakkan Streram sebagai calon PH ekoran perjuangannya di Rantau selepas beliau dilarang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14) yang lalu.

"Dalam mesyuarat biro politik itu, Rafizi (Ramli) mencadangkan nama Streram sebagai calon PH di Rantau. Rafizi turut menolak cadangan beliau sendiri perlu bertanding," kata sumber.

Ditanya mengenai pendirian kem Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, sumber juga berkata kem Azmin menyerahkan isu berkenaan kepada presiden parti untuk membuat keputusannya.

"Tiada sebarang cadangan nama calon dari kem Azmin," kata sumber lagi.

Jelas sumber, Streram dipilih selepas mengambil kira penjuangan beliau serta popularitinya di Rantau.

"Selain perjuangan beliau, Streram memang sangat terkenal di kalangan pengundi Rantau.

"Lagipun, simpati terhadap Streram yang dilarang bertanding pada PRU14 kemungkinan mencerahkan lagi peluang kemenangan PH di PRK ini," ujarnya.

Menurut sumber lagi, PKR juga percaya Streram berhak bertanding kerana membawa isu ini ke mahkamah.

Manakala, satu sumber lain, memberitahu bahawa selain Streram, terdapat dua orang lagi yang turut disebut-sebut berpotensi menjadi calon PKR antaranya Ketua Cabang PKR Rembau R Thangam,  pada pilihan raya kecil DUN Rantau.

PRK Rantau bakal berlangsung pada 13 April, susulan Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 November mengisytiharkan kemenangan calon BN Mohamad Hasan tidak sah dan terbatal dan mengarahkan pilihan raya semula diadakan.

Timbalan Presiden Umno dan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu menang tanpa bertanding di DUN Rantau pada PRU lalu apabila Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

 

Lihat Komen
ADS