Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid, Wan Saiful lari dari isu sebenar wanita, kata Marina
Diterbitkan:  Mar 10, 2019 5:05 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Aktivis sosial Marina Mahathir mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan cuba mengalihkan perhatian daripada gesaan yang dibuat di sambutan Hari Wanita semalam, dengan hanya memberi tumpuan kepada kehadiran peserta LGBT.

"Anda cuba lari daripada isu wanita yang real dengan menumpukan hanya satu daripada banyak gesaan. Memalukan," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Beliau mengiringi ciapan itu dengan tanda pagar #Misogyny (sikap prejudis terhadap perempuan).

"Saya mula percaya lelaki benar-benar menganggap isu wanita seabgai remeh, sebab itu mereka akan cari alasan untuk merespons gesaan yang benar-benar memberi kesan kepada wanita. Ia dipanggil misogyny.

"Walhal kami - kumpulan hak wanita - berkempen dan mengundi anda," katanya dalam ciapan seterusnya.

Semalam lebih 300 menyertai sambutan Hari Wanita di Kuala Lumpur semalam. Antara gesaan yang dilaungkan adalah menghapuskan keganasan berdasarkan jantina dan orientasi seksual; mengharamkan perkahwinan bawah umur; menjamin hak wanita terhadap nyawa dan tubuh mereka; dan gaji minima RM1,800.

Semalam, Mujahid yang memegang portfolio hal ehwal Islam menzahirkan rasa terkejut kerana sambutan itu digunakan untuk mempertahankan hak LGBT dan menyifatkannya sebagai salah guna ruang demokrasi.

"Seperti yang pernah saya maklumkan sebelum ini, kerajaan amat tegas bahawa amalan LGBT tidak akan diterima sama sekali di negara ini. Mana mungkin, kita mengiktiraf suatu perbuatan yang salah di sisi undang-undang," katanya di Facebook.

Wan Saiful juga berkata LGBT tidak akan diterima di Malaysia dan perlu ditolak semua pihak.

"Perjuangan menuntut hak-hak kaum hawa adalah perkara yang dihormati dan mulia yang wajar disokong, tetapi mencampurkan agenda itu dengan agenda LGBT adalah provokasi terhadap kestabilan negara," katanya dalam kenyataan.

Penganjur himpunan itu hari ini mengulang kembali lima gesaan yang menurutnya ditutp oleh "panik moral" susulan kehadiran peserta LGBT semalam.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS