Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA sokong semak semula hukuman penjara 10 tahun individu hina Islam
Diterbitkan:  Mar 11, 2019 1:57 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

MCA mengenepikan perbezaan parti politik bagi menyokong usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang, See Chee How dari PKR bersama sepasukan peguam agar hukuman penjara sepuluh tahun dan denda RM50,000 ke atas Alister Cogia disemak semula.

Menurut Anggota Jawatankuasa Pusat merangkap jurucakap MCA, Chan Quin Er, berdasarkan laporan media, terdapat khilaf dalam penghakiman kes Alister yang mengaku bersalah memuat naik bahan bersifat menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW di Facebook.

“Contohnya, keluarganya dinafikan peluang untuk berjumpa Alister semasa dia dalam tahanan reman.

"Dia juga tak dimaklumkan bahawa dia akan dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat, menyebabkan dia tidak diwakili (peguam),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

See sebelum ini dilapor media sebagai berkata bahawa keluarga Alister meminta bantuannya berhubung kes berkenaan dengan mendakwa Alister menunjukkan simptom gangguan mental dan memerlukan terapi psikiatri.

See juga berkata mendakwa terdapat keraguan sama ada Alister memahami semua tuduhan yang dibicarakan kepadanya sebelum mengaku bersalah.

Sementara itu, Chan pula berkata hukuman penjara sepuluh tahun terhadap Alister yang keupayaan mentalnya dipersoalkan adalah menyalahgunakan undang-undang untuk menghukum orang yang tidak sepatutnya.

Sedangkan, menurut Chan, pesalah lain bagi kesalahan yang lebih serius seperti pengganas, penyamun bersenjata dan pencabul dikenakan hukuman lebih ringan.

“Alister hanya berumur 22 tahun, dan dia berhenti sekolah sejak tingkatan satu. Mengurungnya di penjara bersama penjenayah lain hanya akan memburukkan lagi keadaan dirinya.

“Dia perlukan kaunseling dan pemeriksaan untuk menentukan sama ada dia mempunyai masalah pembelajaran yang memberi kesan terhadap kemahiran bersosial dan pemahaman tentang (akibat) tindakannya," katanya lagi.

Tidak bermaksud terima

Bagaimanapun, tambah Chan, pendirian MCA menyokong agar hukuman itu disemak semula tidak bermaksud menerima perbuatan menghina dan mempersenda Islam.

Malah, katanya, MCA mengecam dan akan bersuara menentang perbuatan sedemikian, bukan sahaja terhadap Islam, malah terhadap semua agama lain di negara ini.

“Kami akui kecekapan polis menahan mereka yang menyalah guna Facebook untuk menghina Islam, tetapi kami juga menggesa kecekapan yang sama ditonjolkan bagi melindungi agama lain (daripada penghinaan).

“Dalam kes ini, kami menggesa pihak berkuasa berkaitan seperti badan kehakiman, pihak polis, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tidak mengamalkan sikap berpihak dalam melaksanakan undang-undang terhadap kes yang melibatkan individu yang memuat naik komen menghina mana-mana agama,” katanya lagi.

Kelmarin, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mendedahkan pertuduhan dilakukan terhadap empat pemilik akaun media sosial kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad, sehari sebelum itu.

Alister mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan terhadapnya dan dijatuhi hukuman 10 tahun dengan tambahan 10 bulan penjara (kerana gagal melunaskan denda RM50,000), yang berjalan secara berasingan oleh Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak.

Alister dituduh di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Lihat Komen
ADS