Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Hukuman mati mandatori harus dikenakan ke atas mereka yang menghina Nabi Muhammad SAW, tegas seorang anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM).

Hukuman tersebut kata Abdul Hakim Othman, bukan sahaja akan dapat menghentikan segala tindakan menghina nabi malah sekali gus menjadi peringatan kepada semua pihak yang cuba menyentuh sensitiviti agama di negara ini.

“HTM menyatakan dengan jelas bahawa kita wajib berhukum dengan hukum Islam.

“Walaupun kita melihat ada beberapa tindakan telah dibuat kepada penghina nabi, namun kita sepatutnya menggunakan hukuman Islam, dan dalam undang-undang Islam jelas, dalam kes (menghina nabi) ini, yakni hukuman mati (perlu dikenakan) walaupun kita tahu tidak ada hukuman mati dalam undang-undang (menghina agama) di Malaysia.

“Tetapi, kita menyatakan (mengikut) hukuman Islam, begitu,” katanya kepada Malaysiakini di pekarangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, hari ini.

Menurut Abdul Hakim, langkah kerajaan menjunjung demokrasi dan kebebasan rakyat bersuara juga merupakan punca utama kenapa masyarakat hari ini semakin berani menghina Nabi Muhamad.

Langkah tersebut, kata jurucakap HTM itu, dimanfaatkan semua pihak di negara ini sewenang-wenangnya.

Ramai polis beragama Islam

“Kita boleh melihat bagaimana hukuman itu terlalu ringan atau pun hukuman itu tidak menakutkan penghina nabi.

"Justeru penghinaan demi penghinaan kita akan terima terhadap Rasulullah kita ekoran daripada sikap itu.

“Kerana apa? Kerana ruang demokrasi ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka untuk menghina Islam.

“Sistem itu yang membenarkan mereka melakukan sedemikian rupa,” keluhnya.

Abdul Hakim pada masa yang sama berkata HTM menuntut kerajaan menggunakan hukum Islam dalam perkara yang melibatkan agama.

Terdahulu Abdul Hakim hadir ke IPD Putrajaya untuk memberi keterangan berhubung Himpunan Bantah Hina Nabi SAW yang diadakan di pekarangan Masjid Putra, Putrajaya pada 1 Mac lalu.

Gambar fail

Dia tiba kira-kira jam 11 pagi ditemani enam yang lain.

Abdul Hakim memberi keterangan kepada pegawai penyiasat selama kira-kira dua setengah jam.

Turut diambil keterangan seorang lagi anggota HTM, Sopian Jahir.

Mengulas kesediaannya untuk diambil tindakan ini jawab Abdul Hakim: “Ini masalah kita nak membela nabi kita, jadi kita wajib bela Rasulullah dengan darah dan nyawa. Dan dalam kes sebegini kalau kita dipanggil atau mungkin didakwa, Insya-Allah kami bersedia."

Padamasa sama Abdul Hakim juga berkata dia kesal jika dikenakan tindakan kerana isu berkenaan dianggap sangat besar.

Malah katanya sebahagian besar anggota polis adalah orang Islam.

Pada 1 Mac lalu, sebaik sahaja selesai Solat Jumaat sekumpulan pengikut HTM mengadakan Himpunan Bantah Hina Nabi SAW di hadapan Masjid Putra, Putrajaya.

Himpunan aman yang berlangsung selama 20 minit itu dihadiri kira-kira 30 orang.

Himpunan tersebut dibuat HTM bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penghina Nabi Muhammad sekali gus menunjukkan rasa cinta mereka kepada nabi.

Lihat Komen
ADS