Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hina Islam: Hukuman perlu dengan belas, untuk mendidik - mufti
Diterbitkan:  Mar 11, 2019 4:45 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berpendapat pesalah kali pertama dalam kes menghina Islam dan Nabi Muhammad tidak wajar dikenakan hukuman berat.

Menurut The Star Online hari ini, beliau berkata hukuman terhadap mereka sepatutnya dengan belas kasihan dan dengan tujuan mendidik.

“Dalam Islam, jika dia adalah pesalah kali pertama, tak sepatutnya dia dikenakan hukuman maksimum," katanya seperti dipetik.

Mengakui penghinaan terhadap Nabi Muhammad adalah sensitif bagi umat Islam, beliau berkata pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum hukuman dijatuhkan terutama keadaan mental pesalah.

“Bagaimanapun, dalam Islam, perlu ambil kira beberapa faktor sebelum jatuhkan hukuman. Saya bukan orang undang-undang, tapi kalau ada bukti penghinaan berlaku, kena lihat pula jika tertuduh itu stabil mentalnya.

"Jika mentalnya tak stabil, ia perlu diambil kira. Walaupun jenayah tetap jenayah, jika ada ruang untuk ringankan hukuman, maka ia perlu dibenarkan," katanya lagi.

Minggu lalu, Mahkamah Sesyen Kuching menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun 10 bulan kepada Alister Cogia, 22, yang mengaku bersalah atas sepuluh pertuduhan menghina Islam dan Nabi Muhammad di Facebook.

Hukuman itu berdasarkan Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut Utusan Malaysia 11 Mac lalu, Adun Batu Lintang See Chee How dan sekumpulan peguam meminta hukuman itu disemak semula.

'Islam tak ditegak dengan hukuman'

Menurut See, keluarga Alister memaklumkan dia menunjukkan simptom gangguan mental dan memerlukan terapi psikiatri, selain tidak pasti sama ada memahami semua tuduhan yang dibacakan terhadapnya sebelum mengaku bersalah.

Sementara itu, bekas Mufti Terengganu Ismail Yahya juga berpandangan hukuman penjara 10 tahun itu sebagai "keterlaluan".

Ismail Yahya

"Islam bukan ditegakkan melalui hukuman, tetapi dengan perbincangan ilmiah. Ia bukan agama yang dikembangkan melalui emosi, tetapi dengan pemahaman idea yang dibawa.

"Kita sepatutnya boleh mempamerkan hikmah Islam tanpa menghukum orang yang jahil," katanya seperti dipetik laporan sama.

Antara yang telah menyuarakan bantahan terhadap hukuman itu ialah peguam Latheefa Koya yang menyifatkannya 'tidak seimbang dengan kesalahan' dan boleh ditanggapi sebagai melanggar kedaulatan undang-undang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata Alister boleh membuat rayuan jika merasakan hukuman ke atasnya keterlaluan.

Lihat Komen
ADS