Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LPS dakwa guru besar punca bangunan sekolah tak dapat dibina

Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) campur tangan berhubung kelewatan pembinaan bangunan tambahan tiga tingkat sekolah itu.

Pengerusi LPS sekolah itu, Dr D Mahaganapathy berkata peruntukan bagi pembinaan bangunan tambahan itu telah pun diluluskan.

Namun, Mahaganapathy mendakwa guru besar sekolah itu, enggan memperbaharui permit atau perakuan pendaftaran LPS.

"Ini masalah yang sangat pelik. Kami sudah ada peruntukkan sebanyak RM1.5 juta daripada The Community Chest.

"KPM, JKR (Jabatan Kerja Raya) dan MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) sudah bagi kebenaran bagi membina bangunan.

"Namun, masih tidak dapat memulakan pembinaan kerana guru besar masih enggan memperbaharui permit LPS," katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini di Kuala Lumpur.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT Taman Melawati Noorul Manan dan Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar, M Jegan.

Untuk rekod, LPS merupakan lembaga yang bertanggungjawab menguruskan infrastruktur sekolah. Guru besar bagi sekolah itu pula akan dilantik sebagai setiausaha LPS.

Sementara itu, Mahaganapathy turut mendakwa guru besar sekolah itu pernah meminta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor agar membubarkan pendaftaran LPS dalam mesyuarat 1 Mac yang lalu.

Menurutnya lagi, mengikut piawaian yang ditetapkan oleh The Community Chest, pendaftaran LPS adalah satu kriteria untuk mendapatkan peruntukkan walaupun peruntukan itu sudah diluluskan pada 5 Feb 2018.

"Sebagai setiausaha LPS, adalah tanggungjawab guru besar untuk memperbaharui pendaftarannya. Tetapi, di sini beliau cuba membubarkan kerana sebab yang kami tidak fahami.

"Kami nak KPM campur tangan dalam hal ini agar pembinaan bangunan tambahan sekolah dipercepatkan," katanya.

Buat masa ini, SJKT Melawati mempunyai 200 murid dengan lapan bilik darjah termasuk makmal Sains dan makmal komputer yang kini digunakan sebagai bilik darjah.

Ketika dihubungi, guru besar sekolah itu enggan mengulas dakwaan LPS terhadapnya.

"Saya tidak dalam posisi untuk komen," katanya.

Sementara itu, sumber KPM memberitahu bahawa pihak kementerian maklum dengan isu ini dan telah menghubungi kedua-dua pihak untuk mengadakan mesyuarat.

"Kami tahu isu ini. Kami sudahpun menguhubungi pihak sekolah dan LPS serta PIBG untuk satu mesyuarat pada Jumaat ini," kata sumber kepada Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS