Sarawak Tribune ditutup terus
Sarawak Press Sdn Bhd, penerbit Sarawak Tribune, tidak akan merayu atau memohon pembaharuan lesen penerbitan akhbar itu yang tamat pada Ogos depan sekalipun selepas perintah penggantungan ditarik balik.
Sarawak Press Sdn Bhd, penerbit Sarawak Tribune, tidak akan merayu atau memohon pembaharuan lesen penerbitan akhbar itu yang tamat pada Ogos depan sekalipun selepas perintah penggantungan ditarik balik.
Pengarah Eksekutif Sarawak Tribune, Polit Hamzah berkata, lembaga pengarah Sarawak Press yang bermesyuarat di Sibu semalam memutuskan untuk sendiri mengenakan penggantungan akhbar berusia 61-tahun itu bagi tempoh yang tidak ditetapkan.
Beliau berkata, Sarawak Tribune, yang telah diberikan surat tunjuk sebab kerana menyiarkan semula karikatur Nabi Muhammad yang menghina, akan "digantung selamanya" sekalipun selepas perintah penggantungan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri ditarik balik.
"Kami tidak berhasrat untuk membuat rayuan. Kerajaan kata kami (Sarawak Tribune) digantung bagi tempoh tidak ditetapkan. Jadi, kami sendiri memutuskan untuk menggantung akhbar itu buat selamanya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata lesen untuk menerbit dan mencetak harian itu akan tamat pada Ogos dan oleh kerana ia mempunyai tempoh kesahihan, lesen itu tidak sah secara automatik jika ia tidak diperbaharui.
Polit berkata, lembaga menyokong penuh pendirian kerajaan persekutuan menggantung lesen Sarawak Tribune.

