Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah benar Anwar rujuk persoalan perlembagaan MKN
Diterbitkan:  Mar 14, 2019 3:32 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk persoalan-persoalan mengenai perlembagaan untuk membatalkan Akta Majlis Keselamatan Negara Akta 2016 (MKN), ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu dalam kamarnya di hadapan peguam J Leela, yang mewakili Anwar.

Leela memberitahu pemberita bahawa hakim itu telah membuat beberapa pindaan kepada persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh Anwar, iaitu sama ada Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (MKN) itu melanggar perlembagaan, tidak sah dan terbatal dan tidak berkesan bersandarkan alasan-alasan yang berikut; ia menjadi undang-undang berikutan pindaan yang melanggar perlembagaan, ia tidak digubal mengikut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan ia melanggar kebebasan untuk bergerak yang dijamin oleh Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Sekarang kita bolehlah menunggu Mahkamah Persekutuan untuk menetapkan tarikh pendengaran," kata Leela.

Anwar telah memfailkan saman pemula untuk mencabar kesahihan MKN di bawah perlembagaan, yang telah dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2016, yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi atas alasan cabaran perundangan sepatutnya difailkan di Mahkamah Persekutuan kerana ia melibatkan kompeten legislatif oleh Parlimen.

Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa prosiding untuk mendapatkan penetapan bahawa sesuatu undang-undang adalah tidak sah, tidak boleh dimulakan tanpa kebenaran hakim Mahkamah Persekutuan.

Anwar kalah dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya pada 6 Nov, 2017. Pada Mac 2018, Mahkamah Persekutuan membenarkannya merayu keputusan itu.

Pada 13 Nov 2018, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Anwar dan menghantar kembali perkara itu ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar meritnya.

Bagaimanapun, pada 27 Feb 2019, apabila kes itu disebut di hadapan Hakim Nordin, peguam Anwar Datuk Seri Gopal Sri Ram telah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk memindahkan perkara itu ke Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan mengenai persoalan-persoalan mengenai perlembagaan mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Dalam saman pemulanya yang difailkan pada 2 Ogos 2016, Anwar mendakwa pelaksanaan Akta MKN 2016 melanggar perlembagaan dan tidak sah, dengan menamakan MKN dan kerajaan sebagai defendan pertama dan kedua masing-masing.

Beliau memohon untuk membatalkan Akta MKN dalam usaha untuk mengembalikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam memberi perkenan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS