Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Serangan masjid di New Zealand: 49 terbunuh, 48 lagi parah
Diterbitkan:  Mar 15, 2019 12:57 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

GLOBAL l Angka korban tragedi serangan keganasan di Christchurch kini meningkat kepada 49 orang dengan lebih 48 lagi cedera, kata Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush pada Jumaat lapor agensi berita Xinhua.

Beliau turut mengesahkan tiga lelaki dan seorang wanita kini ditahan dan pihak polis sedang berusaha untuk menghentikan rakaman video kejadian di Masjid Al Noor yang kini tular di media sosial.

Terdahulu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata empat suspek ditahan, termasuk seorang lelaki kelahiran Australia dan percaya tiada suspek lain buat masa ini.

"Jelas ia serangan pengganas dan telah dirancang dengan amat teliti.

"Dua bom yang dipasang pada kereta berjaya dimatikan pihak polis. Tahap keselamatan di New Zealand dinaikkan ke tahap tertinggi," katanya pada sidang akhbar di Wellington.

Sekurang-kurangnya dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan di dua masjid berasingan di Christchurch pada Jumaat.

Menurut laporan, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di dalam masjid Masjid Al Noor yang dipenuhi jemaah.

Difahamkan serangan berlaku sekurang-kurangnya di enam lokasi berbeza. Kira-kira 50 das tembakan kedengaran, kata seorang saksi.

"Hari ini merupakan hari paling malang di New Zealand. Doa dan ingatan saya sentiasa untuk Christchurch," kata Ardern.

Orang ramai dinasihatkan berada di rumah dan semua masjid diminta ditutup.

Selain itu, beberapa jalan raya dan sekolah masih ditutup namun Lapangan terbang Christchurch beroperasi seperti biasa.

Saksi menyifatkan terdapat banyak darah dan beberapa kematian.

Difahamkan bahawa insiden tembakan itu berlaku di sekurang-kurangnya enam lokasi berbeza.

Pasukan kriket Bangladesh hampir memasuki masjid itu ketika insiden tembakan berlaku, jadi mereka berjaya menyelamatkan diri.

Media tempatan turut melaporkan satu lagi insiden tembakan berlaku di sebuah masjid di pinggir bandar Christchurch.

Pasukan polis bersenjata telah dikerah menjaga lokasi terbabit dan memburu penembak.

Mereka menggesa penduduk setempat agar berada di dalam rumah. Sekolah tempatan turut ditutup.

"Polis bertindak balas dengan segala keupayaannya bagi menangani situasi ini, namun risiko persekitaran kekal tinggi," menurut polis dalam satu kenyataan.

Polis berkata mereka telah menahan seorang suspek dan masih memburu yang lain.

Sementara itu, awal hari ini AFP melaporkan beberapa orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera apabila seorang penembak melepaskan tembakan rambang di sebuah masjid yang penuh sesak menjelang solat Jumaat di bandar Christchurch, New Zealand hari ini.

Agensi itu yang memetik media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya enam terbunuh dan bandar di Pulau Selatan itu kini ditutup kepada orang ramai.

Pesuruhjaya polis New Zealand, Mike Bush menggesa orang ramai agar tidak mengunjungi mana-mana masjid hari ini.

“Saya mengarahkan agar sesiapa yang berfikir untuk pergi ke masjid malam ni, agar membatalkan niat anda, tutup pintu rumah anda sehingga kami benarkan,” kata Bush yang dipetik oleh New Zealand Herald.

Polis New Zealand juga dikerah menutup bandar Christchurch susulan insiden tembakan berkenaan.

“Polis bertindak balas menggunakan keupayaan sepenuhnya untuk mengawal keadaan, namun risikonya masih terlalu tinggi kerana kami percaya ada penembak yang masih bebas,” kata polis dalam satu kenyataan.

Serangan dilaporkan berlaku di dua lokasi berbeza.

Media tempatan melaporkan polis berjaya memindahkan mangsa yang terperangkap di satu lagi lokasi.

Difahamkan, Masjid Al Noor salah satu lokasi kejadian, sesak dengan jemaah yang datang untuk solat Jumaat, termasuk pasukan kriket Bangladesh.

Akhbar The Guardian memetik Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sebagai berkata serangan bersenjata hari ini sebagai ‘hari gelap kepada New Zealand’.

Menurut Ardern, kejadian itu adalah sesuatu yang luar biasa, mengejutkan dan di luar jangkaan.

“Mangsa-mangsa ini memilih New Zealand sebagai rumah mereka, jadi mereka adalah sebahagian daripada kita,” katanya.

Lihat Komen
ADS