Malaysiakini BERITA

Kes Aisyah: AG hanya ada satu pertimbangan - Peguam

M Fakhrull Halim  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Jika mahkamah dan peguam hanya mementingkan pertimbangan undang-undang, ada satu asas pertimbangan utama yang berhak digunakan hanya oleh peguam negara seorang sahaja.

Kata peguam kanan Shaharudin Ali, asas pertimbangan yang dikenali sebagai ‘kepentingan awam’ itu boleh digunakan peguam negara untuk membuat keputusan berkaitan kepentingan berkaitan hubungan diplomatik dua hala atau alasan polisi mengikut budi bicara peguam negara.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelepasan warga Indonesia, Siti Aisyah, tanpa dibebaskan daripada pertuduhan kes pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam dua tahun lalu.

“Pendakwa raya boleh mengambil kira perhubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia dalam membuat keputusan membebaskan Aishah baru baru ini.

“Kepentingan strategik antara dua negara tiada kena mengena dengan undang-undang tetapi kuasa ini memang ada dalam tangan peguam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Jelas Shaharudin, pertimbangan itu merangkumi hal yang luas dan peguam negara berhak membuat keputusan sama ada untuk mendakwa seseorang, membebaskan, menghentikan pendakwaan, atau mengurangkan pertuduhan daripada yang serius ke kurang serius, dan sebagainya atas dasar kepentingan awam.

“Jadi, kita tak boleh berkata, eh, kenapa Aisyah ini salah tetapi peguam negara hantar balik (dilepaskan)? Itu memanglah, (jika) mahkamah dan peguam hanya cerita (tentang) undang-undang, tapi peguam negara berhak mengambil kira perhubungan strategik, diplomasi antara Malaysia dengan Indonesia.

“Orang lain tak berhak, (hanya) peguam negara berhak,” katanya lagi.

Siti Aisyah bersama seorang lagi tertuduh Doan Thi Huong didakwa bersama empat lagi yang masih bebas atas tuduhan membunuh Kim pada 13 Februari 2017 di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh membela diri pada 16 Ogos 2018.

Isnin lalu, Siti Aisyah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan membunuh selepas pihak pendakwaan memaklumkan untuk menarik balik pertuduhan ke atasnya mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Hal tersebut telah mendorong peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan mengemukakan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengkaji semula pertuduhan terhadap Doan.

Bagaimanapun, semalam, AGC menolak representasi wanita warga Vietnam tersebut.

Peguam jenayah Rajsurian Pillai turut menyatakan pandangan serupa, iaitu pendakwa raya tidak perlu menyatakan sebab mengapa mereka memilih untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Siti Aisyah.

“Kuasa mereka di bawah kanun tatacara jenayah (yang) memberi kuasa penuh kepada pendakwa raya untuk menuduh atau menarik balik tuduhan pada masa-mana peringkat kes,” katanya.

Berkongsi pendapat yang sama dengan Shaharudin, Rajsurian turut berpendapat sebab utama pendakwa raya menggugurkan pertuduhan Siti Aisyah adalah atas sebab politik dan hubungan antara Malaysia dan Indonesia.

“Nampaknya tiada sebab lain memandangkan mahkamah telah mendapati satu kes prima facie terhadap kedua-dua OKT (tertuduh).

“[...] Memang pelik yang pendakwa raya memilih untuk meneruskan kes bagi satu OKT (Doan) tapi bukan OKT yang lain (Siti Aisyah),” katanya.

Tambahnya, sekiranya benar pengguguran kes terhadap Siti Aisyah dilakukan atas faktor tertuduh dipergunakan, maka perkara yang sama juga perlu dilakukan terhadap Doan.

Oleh hal yang demikian, dia menolak kemungkinan pengguguran tuduhan Siti Aisyah dilakukan atas faktor teknikal lain.

“Nampaknya tiada (faktor lain), perbicaraan (sepatutnya) akan diteruskan dan pembelaan harus menjalankan kes pembelaan.

“Selepas kes pembelaan, mahkamah akan mendapati OKT bersalah atau tidak (dibebas dan dilepaskan),” ulasnya lagi.

Masuk fasa pembelaan

Perkara serupa turut disuarakan peguam Nur Hannan Ishak.

Biarpun mengakui kuasa pendakwa raya untuk menarik balik pertuduhan, dia menganggap pengguguran kes terhadap Siti Aisyah itu sebagai tidak adil kerana telah memasuki kes pembelaan.

“Dia dah masuk pembelaan. Apabila kita dah masuk pembelaan, mesti ada prima facie, maksudnya elemen-elemen dalam Seksyen 302 (kanun keseksaan) itu dah dipenuhi," katanya kepada Malaysiakini.

Menyokong pendapat beberapa peguam lain yang menyifatkan pengguguran kes Siti Aisyah sebagai diskrimiasi terhadap Doan, Nur Hannan turut menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak adil kepada orang awam yang mahukan perbicaraan yang adil dan telus.

“Jika Siti Aisyah ni dia (pendakwa raya) kata tak bersalah, kenapa tak habiskan bicara? Habiskan bicara, bukti semua ada, dibentangkan depan hakim.

“Jadi hakim buat keputusan, Siti Aisyah dilepaskan dan dibebaskan selepas bicara penuh. Kenapa kena bebaskan sekarang?” soalnya lagi.