Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Netizen cari jalan siar rakaman serangan Christchurch
Diterbitkan:  Mar 16, 2019 9:39 AM
Dikemaskini: 4:54 AM

Pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di New Zealand yang disiarkan secara langsung bukan kali pertama menunjukkan jenayah ganas dipaparkan di internet.

Siaran langsung secara live strim tembakan rambang itu menunjukkan 49 terkorban dan berlangsung selama 17 minit.

Facebook dalam kenyataannya mengatakan ia bertindak mengeluarkan video itu selepas dimaklumkan oleh polis New Zealand sejurus siaran live strim itu bermula.

Tetapi beberapa jam selepas itu, salinan video itu masih tersedia di Facebook, Twitter dan YouTube, serta Instagram dan WhatsApp milik Facebook.

Sebaik sahaja video itu dipaparkan dalam talian, rakaman itu mula disebarkan. 

Siaran langsung di Facebook itu dengan pantas dikongsikan pengguna internet merentasi platform media sosial yang lain dalam masa beberapa minit.

Jenayah kejam lain yang telah disiarkan secara langsung di internet termasuk kes seorang bapa di Thailand pada tahun 2017 yang menyiarkan tindakannya membunuh anak perempuannya di Facebook Live. 

Selepas 370,000 tontonan dan lebih sehari, Facebook mengeluarkan video itu.

Di Amerika Syarikat, serangan di Chicago terhadap seorang lelaki kulit putih kurang upaya berusia 18 tahun pada tahun 2017, dan tembakan rambang oleh seorang lelaki di Cleveland, Ohio pada tahun yang sama juga dibuat secara langsung.

Facebook menghabiskan beberapa tahun membina kecerdasan buatan dan pada bulan Mei 2017 ia berjanji untuk menggajikan 3,000 lagi individu bagi mempercepat penyingkiran video yang menunjukkan pembunuhan, bunuh diri dan tindakan keganasan yang lain. Namun, masalah itu berterusan.

Facebook, Twitter dan YouTube pada Jumaat berkata mereka mengambil tindakan untuk mengeluarkan video-video berkenaan.

"Polis mengingatkan kami video di Facebook tidak lama selepas live strim bermula dan kami dengan cepat mengeluarkan kedua-dua akaun Facebook dan Instagram penembak serta video berkenaan," kata Facebook.

"Kami juga mengeluarkan sebarang pujian atau sokongan untuk jenayah dan penembak sebaik sahaja kami sedar."

Twitter berkata ia mempunyai "proses yang ketat dan pasukan yang berdedikasi untuk mengurus keadaan yang terdesak dan kecemasan" seperti itu.

"Kami juga bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang untuk memudahkan penyiasatan mereka seperti yang diperlukan," katanya.

YouTube berkata: "Harap maklum bahawa kami sedang berusaha gigih untuk menghapuskan rakaman yang ganas."

Kecewa dengan keadaan berkenaan, pemimpin politik di seluruh dunia pada Jumaat menyuarakan kesimpulan yang sama iaitu kegagagalan media sosial.

Apabila video pembunuhan beramai-ramai di New Zealand itu terus tersebar, bekas  Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark dalam kenyataan televisyen berkata platform media sosial lewat menutup ucapan kebencian.

"Saya fikir ini akan menambah semua gesaan di seluruh dunia untuk pengawalan platform media sosial yang lebih berkesan," katanya.

Salinan rakaman disebar

Selepas Facebook menghentikan siaran live stream dari New Zealand itu, ia memberitahu para moderator untuk memadam dari rangkaiannya sebarang salinan rakaman itu.

"Semua kandungan yang memuji, menyokong dan mewakili serangan dan pelaku harus dikeluarkan dari platform kami," kata Facebook mengarahkan moderator kandungan di India, menurut e-mel yang dilihat oleh Reuters.

Pengguna yang berniat untuk berkongsi video keganasan itu bagaimanapun mengambil beberapa pendekatan.

Salinan rakaman yang ditinjau oleh Reuters menunjukkan sesetengah pengguna merekodkan video yang dimainkan pada telefon atau komputer mereka sendiri untuk membuat versi baru dengan cap jari digital yang berbeza daripada yang asal.

Orang lain berkongsi rakaman pendek atau tangkapan skrin dari live strim yang dipapar lelaki itu, yang juga menjadi lebih sukar untuk dikenalpasti oleh program komputer.

Pada forum perbincangan internet Reddit, para pengguna secara aktif merancang dan melakukan strategi untuk mengelakkan tindakan moderator kandungan, mengarahkan satu sama lain berkongsi platform yang belum diambil tindakan dan berkongsi salinan video yang dimuat secara sulit.

Facebook pada hari Jumaat mengakui cabaran itu dan berkata ia memberi respons kepada laporan pengguna baru.

"Untuk mengesan kejadian video baru, kami menggunakan kecerdasan buatan kami untuk keganasan grafik" serta teknologi audio dan mencari akaun baru yang menyamar sebagai penembak yang dikatakan itu".

"Kami menambah setiap video yang kami temukan ke pangkalan data dalaman yang membolehkan kami mengesan dan mengalih keluar salinan video secara automatik apabila dimuat naik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS