Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Lembu diternak untuk sup tulang, mati kurang makan
Published:  Feb 13, 2006 2:34 PM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Kematian 81 ekor lembu milik empat penternak di Kampung Binjai, Kemaman baru-baru ini bukan disebabkan penyakit kuku dan mulut atau penyakit misteri, seperti yang disangkakan oleh penduduk.

Sebenarnya, lembu-lembu tersebut yang diternak khusus untuk dijadikan sup tulang, mati kerana tidak mendapat makanan yang mencukupi.

Siasatan awal oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri semalam mendapati kematian ternakan itu berpunca daripada kekurangan zat dan pengurusan yang tidak cekap.

Ketika dihubungi Bernama hari ini, Pengarahnya Dr Azizol Mohd Sharum berkata, kumpulan penternak berkenaan didapati menternak kira-kira 200 ekor lembu khusus untuk dijual sebagai bahan membuat sup tulang.

Kumpulan lembu itu diternak di kawasan seluas kira-kira 40 hektar yang terdiri daripada kawasan kebun getah, paya dan belukar dalam keadaan ternakan itu dilepas bebas.

Tidak sihat

"Oleh kerana mereka tidak mengamalkan cara penternakan yang baik dan sempurna, terutamanya tidak mementingkan soal pemakanan, menyebabkan tahap protein dalam badan ternakan rendah dan sekali gus menyebabkan sistem pertahanan badan haiwan itu lemah," katanya.

Dr Azizol berkata, siasatan itu juga mendapati ada di antara ternakan tersebut tidak sihat dan kurus, malah yang mati itu kebanyakannya lembu tua.

Beliau berkata, JPH akan membuat kajian lebih terperinci terhadap kumpulan ternakan itu pada minggu depan, termasuk melakukan pembedahan, dan mengambil sampel darah serta najisnya untuk menilai potensi penyakit setiap ternakan dalam kumpulan itu.

Katanya, kajian itu juga bertujuan untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi di negeri ini pada masa akan datang, selain hasil kajian itu nanti dapat dijadikan panduan oleh para penternak.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS