Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibu tunggal Islam, Buddha hidup harmoni di Kampung Janda

GLOBAL | Sejak 14 tahun lalu, kerajaan Thailand mewujudkan perkampungan khas kepada golongan ibu tunggal yang kematian suami akibat ditembak penjenayah.

Terletak sekitar 20 kilometer dari Bandar Narathiwat, seramai 150 ibu tunggal terdiri daripada bangsa Melayu dan Siam dapat meneruskan kehidupan harmoni dengan disediakan pelbagai pekerjaan melalui bantuan kerajaan.

Dikenali sebagai 'Kampung Janda', menurut pengurusnya, Oi Chai Sheesukwan, kewujudan perkampungan itu hasil cetusan idea permaisuri Sirikit, iaitu permaisuri bekas Raja Thailand, mendiang Raja Bhumibol Adulyadej.

Katanya, penempatan itu dilaksanakan melalui Program Kecekapan Kampung dan Ladang Sampingan Ekonomi Rumah dan setiap keluarga disediakan wang sara hidup RM4,500 sebulan di samping pendidikan percuma untuk anak-anak.

Kini, Oi Chai berkata, penduduk perkampungan itu kini berjumlah 570 orang terdiri daripada ibu tunggal dan anak-anak mereka.

"Ibu tunggal di sini sebahagian besarnya daripada bangsa Melayu beragama Islam dan bangsa Siam beragama Buddha yang hidup bersama dalam suasana harmoni sejak 14 tahun lalu.

"Setiap keluarga akan diberi sebuah rumah dan 0.6 hektar tanah untuk mereka bercucuk tanam atau menguasahakan sesuatu pekerjaan," katanya.

Latihan kemahiran

Mengulas lanjut katanya, perkampungan itu melibatkan keluasan tanah seluas 72 hektar dan disediakan kemudahan seperti tanah pertanian, kandang-kandang haiwan ternakan, kolam, sangkar ikan dan pusat pembuatan kraftangan.

Jelasnya, setiap peserta akan akan diberi latihan kemahiran seterus terlibat dalam industri kecil dan sederhana.

"Di sini peserta akan diajar melakukan pelbagai jenis pekerjaan seperti menanam sayuran, menternak ikan dan itik, perladangan, kemahiran jahitan dan pembuatan seramik kaca," katanya ketika ditemui Malaysiakini, baru-baru ini.

Penternakan ikan sangkar antara salah satu pekerjaan disediakan kepada penduduk di Kampung Janda, Narathiwat.

Oi Chai berkata, penghuni kampung tersebut mestilah terdiri daripada ibu tunggal yang kematian suami yang ditembak penjenayah.

"Kita akan siasat dulu punca suami janda ini mati ditembak, kalau sebab buat jenayah atau dadah, kita tak terima.

"Sebaliknya kebanyakan suami ibu tunggal di sini adalah anggota keselamatan seperti askar, polis atau mereka yang menjadi mangsa jenayah.

"Sejak 14 tahun lalu, kehidupan di sini sangat harmoni khususnya antara penduduk, dan kita juga sering menerima kunjungan pelancong luar yang tertarik dengan keunikan kampung janda ini," jelasnya.

Seorang peduduk, Fakeetah Hennat, 38 (gambar paling atas) berkata dia masih trauma memikirkan kejadian tembakan yang meragut nyawa suaminya, Suhaiming Puta pada tahun 2007.

Menurutnya, dia kehilangan suami dan bapa mertua pada tahun yang sama apabila kedua-dua mereka mati ditembak individu tidak dikenali dipercayai kerana dendam kerana bapa mentuanya seorang ketua kampung.

"Selepas bapa mentua mati, suami menggantikannya sebagai ketua kampung, tapi tujuh bulan selepas itu, suami pula mati kena bedil (tembak).

"Saya jadi takut nak tinggal dalam masyarakat, kemudian apabila bila kerajaan tawar tinggal sini, saya terus setuju," katanya yang mempunyai seorang anak dan kini belum mahu berkahwin lagi kerana selesa tinggal di perkampungan tersebut.

Bualoy Promchart,60, salah seorang penghuni di Perkampungan Janda di Narathiwat yang diwujudkan khas sebagai Program Kecekapan Kampung dan Ladang Sampingan Ekonomi oleh kerajaan Thailand.

Sementara itu, bagi penduduk terawal perkampungan ibu tunggal itu, Kheson Sobcherong, 64 berkata dia menetap di situ sejak 13 tahun lalu selepas suaminya, Wanmard Buasan, mati ditembak ketika mereka sedang berniaga pisang goreng.

Bagi meneruskan kehidupannya Kheson kini menjalan aktiviti pertanian dan penternakan haiwan.

"Sampai sekarang saya tidak tahu punca suami ditembak walaupun suami ditembak orang yang kami kenali, biarlah undang-undang yang menghukumnya.

"Jadi saya teruskan hidup di sini, bercucuk tanam, pelihara ayam dan itik. Saya dapat pendapatan tambahan dengan menjual telur selain bantuan pihak kerajaan," katanya.

Penduduk saling memahami

Bagi Mek Saini Mat Kit pula, dia tinggal di kampung tersebut sejak 12 tahun bersama empat orang anak berusia antara enan hingga 14 tahun.

Dia memilih untuk bekerja sebagai penternak ikan talipia dan sepat dengan bantuan kolam dan sangkar oleh pihak pengurusan kampung itu.

"Jadi saya menjada pendapatan di sink dengan menjual ikan segar dan ada juga yang dibuat perkasam sebelum dijual.

"Bayaran gaji dan wang yang kerajaan beri sudah mencukupi untuk saya membesarkan anak-anak. Walaupun kami di sini boleh memilih untuk berkahwin lagi dan tinggal di luar. Tetapi bagi saya, saya lebih selamat dan selesa di sini.

"Penduduk di sini semuanya wanita dan kami mempunyai nasib yang sama. Ini membuatkan kami lebih memahami satu sama lain," katanya.

Papan tanda Perkampungan Janda Program Kecekapan Kampung dan Ladang Ekonomi Sampingan di Narathiwat, Thailand.

Lihat Komen
ADS