Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib guna pelbagai taktik cuba tangguh perbicaraan, kata AG

Peguam Negara Tommy Thomas memberitahu Mahkamah Rayuan hari ini bahawa Najib Razak menggunakan pelbagai taktik untuk cuba menangguhkan perbicaraan kes pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Dalam satu salinan penyerahan pendakwaan, Thomas berkata, ini dapat dilihat dalam rayuan bekas perdana menteri itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menarik balik sijil kebenaran untuk memindahkan kes itu dari mahkamah sesyen ke mahkamah tinggi.

"Kedua-dua pihak setuju bahwa perkara itu harus dibicarakan di mahkamah tinggi. Tiada pertengkaran mengenai perkara ini.

"Namun, perayu cuba menimbulkan pelbagai isu untuk menangguhkan perbicaraan, pada setiap peringkat kes ini.

"Cabaran mereka terhadap kuasa pendakwa raya dalam rayuan ini tidak berasas dan kami berharap agar rayuan ini ditolak," katanya.

Thomas berkata demikian dalam empat rayuan interlokutori dimohon Najib membabitkan tujuh tuduhan dihadapinya membabitkan dana SRC International.

Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan perintah larangan tehadap media dan orang ramai daripada membincangkan dan menerbitkan kenyataan mengenai merit kes SRC International dihadapinya.

Najib juga merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk mendapatkan beberapa dokumen mengenai kes itu, rayuan terhadap pelantikan Sulaiman Abdullah mengetuai pendakwaan dan rayuan mengenai sijil pindahan kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi oleh pendakwaan.

Sementara itu, berhujah di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Zabariah Mohd Yusof, Thomas berkata bahawa Najib tidak pernah dinafikan haknya untuk didengar berhubung penarikan balik pendakwaan terhadap sijil itu.

Beliau berkata, pada 7 Februari lalu di mahkamah tinggi, hakim membenarkan permohonan peguam Najib untuk berhenti selama setengah jam untuk menjawap permohonan yang dibangkitkan oleh Thomas.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi membabitkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC.

Beliau kemudian didakwa dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sama.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Rayuan menetapkan Khamis ini untuk membuat keputusan empat rayuan bekas Perdana Menteri Najib Razak berhubung permohonan interlokutori bagi pertuduhan yang dihadapikan membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Hakim Zabariah Mohd Yusof, yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan untuk menangguhkan keputusan rayuan itu sehingga Khamis ini selepas pihak pembelaan dan pendakwaan selesai membentangkan hujah mereka hari ini.

Dua lagi hakim ialah Rhodzariah Bujang dan Lau Bee Lan.

Satu daripada rayuan Najib ialah berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menarik balik sijil bagi memindahkan tujuh pertuduhan Najib berkaitan dana SRC International, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Tiga lagi rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan berkaitan perintah larangan ke atas media dan orang awam daripada membincangkan merit kes jenayah yang dihadapinya, penzahiran dokumen dan pernyataan serta tindakan beliau mencabar pelantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes SRC International yang dihadapinya.

Prosiding rayuan Najib diteruskan hari ini yang masuk hari keempat dengan mendengar hujah Peguam Negara. Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh kemudiannya membalas hujah Thomas itu.

Terdahulu, Thomas berhujah bahawa permohonan pihak pembelaan yang mahu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Peguam Negara menarik balik sijil pemindahan kes dan mahu perkara itu didengar semula dihadapan hakim yang lain, hanyalah untuk menangguhkan perbicaraan.

Beliau berkata mahkamah rayuan mempunyai semua fakta dan undang-undang untuk menentukan kesahihan penarikan balik sijil pemindahan dan seterusnya memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi, tanpa perlu memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi lain.

“Rayuan ini tidak perlu didengar semula di Mahkamah Tinggi tetapi didengar semula di Mahkamah Rayuan yang mempunyai kedudukan yang baik untuk memutuskan merit kes itu,” katanya.

Thomas juga berhujah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai bidang kuasa untuk memindahkan kes kepada diri sendiri memandangkan telah mendengar isu-isu permulaan dan tarikh perbicaraan telah ditetapkan untuk didengar dihadapannya.

Beliau berkata apabila sijil ditarik balik, kes akan dikembalikan ke Mahkamh Seysen di mana kes itu didaftarkan pada asalnya.

“Adalah tidak munasabah untuk mencadangkan supaya perayu (Najib) hadir di Mahkamah Sesyen sebelum hakim Mahkamah Tinggi boleh bertindak ‘suo motu’ (usaha sendiri) mengikut Seksyen 417 (2) Kanun Acara Jenayah," katanya.

Semasa pendengaran rayuan berkenaan, seorang pegawai polis dilihat mengejutkan Najib yang terlelap semasa peguamnya Harvinderjit Singh berhujah. Pegawai polis itu, yang duduk di sebelah kanan mahkamah, berjalan ke arah Najib dan menyentuh bahu bekas perdana menteri itu sambil menyatakan sesuatu.

Najib, yang duduk di hadapan kandang tertuduh, kelihatan mengangguk-anggukkan kepala dan terjaga sepanjang sesi prosiding itu.

Seseorang tertuduh atau orang yang duduk di galeri awam tidak dibenarkan tidur sepanjang prosiding mahkamah.

Najib, 66, anggota Parlimen Pekan, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Beliau juga didakwa dengan tiga lagi tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama dari dana yang sama.

Lihat Komen
ADS