Pilihanraya kampus bagi memilih Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) penting bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar universiti mengenai demokrasi, namun harus dipastikan ia tidak disalahgunakan, kata naib canselor Universiti Malaya (UM).
"Kita dipihak kementerian dan hampir semua naib canselor sudah bersetuju pilihanraya kampus perlu dijalankan. Ini kerana kita mendokong dasar-dasar demokrasi dan sebagainya," kata Prof Datuk Dr Anuar Zaini dalam sidang media mengenai istiadat konvokesyen universiti, pagi tadi.
Dalam sidang media itu beliau memaklumkan konvokesyen universiti itu akan diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil bermula 7 Oktober depan. Penangguhan dan perpindahan tempat majlis itu berlaku kerana Dewan Tunku Canselor (DTC) terbakar pada 29 Jun lalu..
Menurut beliau, pelajar universiti adalah bakal pemimpin dalam masyarakat dan untuk itu mereka perlu tahu selok-belok penting demokrasi.
"Pilihanraya ini adalah satu daripada kaedah penting dalam masyarakat dan kita harus teruskan pilihanraya kampus yang ada," katanya.
Sabtu lalu, sekumpulan 20 pensyarah dan pemimpin pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilaporkan mendesak kerajaan menghapuskan pilihanraya kampus di semua institut pengajian tinggi awam (IPT) awam. Tujuannya adalah untuk mengurangkan pengaruh politik kepartian, yang didakwa menyebabkan pelajar Melayu kurang menumpukan perhatian kepada pelajaran.
Akhbar Utusan Malaysia melaporkan bahawa kumpulan itu - yang tidak dinamakan - juga mendakwa pilihanraya kampus menyebabkan perpecahan dan suasana tidak harmoni kerana mendapat sokongan parti pembangkang.
Latar belakang
Anuar berkata aspek penting yang perlu diberi penekanan ialah corak pilihanraya itu dilakukan.
"Kita tidak mahu ia disalahgunakan. Misalnya, ia harus mengikut lunas-lunas demokrasi yang betul. Calon (pelajar) itu mesti bertanding di atas kewibawaan calon itu sendiri. Kita tidak mahu ada unsur berpuak-puak atau pengaruh kepartian," katanya.
Selain itu beliau berkata latar belakang pelajar yang bakal bertanding untuk MPP juga perlu dikaji bagi memastikan mereka benar-benar layak berada dalam jawatankuasa pelajar itu.
Tambahnya lagi, naib canselor sememangnya mempunyai kuasa dalam menentukan sesiapa yang layak. Bagaimanapun, bagi mendokong prinsip demokrasi, hak memilih wakil MPP itu diberikan kepada pelajar.
Dalam perkembangan berkaitan, Anuar juga menggesa agar pelajar universiti sedia ada melibatkan diri dalam proses demokrasi itu.
"Semua pelajar harus keluar mengundi. Dan bukan hanya sektor-sektor tertentu saja yang keluar mengundi. Saya mahu semua pelajar mengunakan peluang itu dan jangan abai tanggungjawab sebagai ahli warga kampus," katanya.
Menurutnya jika pelajar mahu pemimpin di universiti mereka mendokong cita-cita mereka, maka pelajar perlu keluar mengundi bagi memilih orang yang mereka anggap sesuai.
"Kalau mereka tidak mengundi atau mendiamkan diri dan pemimpin (pelajar yang ada) itu mendatangkan masalah kepada mereka, kita tidak boleh salahkan sesiapa," katanya..
'Tidak ambil kisah'
Beliau memberitahu dalam pilihanraya kampus kini hanya kurang daripada 50 peratus warga kampus yang keluar mengundi MPP dan berharap jumlah tersebut akan meningkat kepada lebih 80 peratus pada pilihanraya kampus akan datang.
Semua IPTA akan mengadakan pilihanraya kampus tahun ini secara serentak buat pertama kalinya pada November.
Menurut Anuar, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kebanyakan pelajar universiti lebih bersifat "tidak ambil kisah" dan "membisu" dan perkara ini boleh menjejaskan kecemerlangan pelajar dari aspek amalan kemasyarakatan mereka.
"Jika mereka membisu dan tidak ambil kisah macam mana masyarakat kita hendak membangun dan ini meliputi semua kaum?" katanya.
Gerakan bawah tanah
Menjawab soalan mengenai kewujudan gerakan bawah tanah dan antikerajaan di universiti, Anuar berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan.
"Kita (UM) sedang memerhati (keadaan) serta dalam (menjalankan) siasatan dan laporan (siasatan) akan dihantar ke kementerian," katanya.
Menurut beliau laporan oleh jawatankuasa itu akan dihantar kepada kementerian pada 21 September ini seperti yang diarahkan.
Beliau juga memberitahu jawatankuasa di universiti itu terdiri daripada enam orang dan dipengerusikan oleh beliau sendiri.
Khamis lalu, Kementerian Pendidikan mengarahkan semua IPTA menubuhkan jawatankuasa bagi memantau kegiatan pelajar dan kakitangannya untuk memastikan mereka tidak terlibat dengan gerakan bawah tanah dan antikerajaan.
Menurutnya setakat ini, pelajar, pensyarah dan pengurusan universiti itu kini lebih memberikan tumpuan mereka kepada hal akademik dan sistem pengurusan.
"Sekarang pelajar sedang beri fokus mereka kepada peperiksaan manakala pihak pengurusan memberi fokus mereka untuk meningkatkan kualiti pengurusan dan pentadbiran yang ada," katanya.
