Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
13 didakwa halang penjawat awam di Tanah Wakaf Abdul Cauder
Diterbitkan:  Mar 19, 2019 10:02 AM
Dikemaskini: 2:02 AM

Exco Pemuda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir dan aktivis Zikri Zulkifli didakwa di mahkamah majistret Butterworth semalam atas tuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Mereka didakwa menghalang anggota polis dan pegawai Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) daripada merobohkan rumah di Tanah Wakaf Abdul Cauder di Jalang Mengkuang, Butterworth pada 15 Februari lalu.

Mohd Ashraf, 33, dan Zikri, 30, yang bekerja di Penang Institute, diwakili peguam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq yang juga adun Bertam.

Menurut New Straits Times, Khaliq meminta mahkamah menetapkan ikat jamin yang rendah kerana ia bukanlah satu bentuk hukuman tetapi untuk "menjamin kehadiran" ketika perbicaraan.

"Kedua-duanya pencari nafkah tunggal dalam keluarga," katanya seperti dipetik.

Majistret M Kalairasi menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin untuk Mohd Ashraf dan Khaliq, dan menetapkan 16 April untuk sebutan kes.

Sementara itu, Bernama melaporkan 11 penduduk di Tanah Wakaf Abdul Cauder didakw secara berasingan semalam atas tuduhan sama.

Mereka didakwa menghalang perobohan di situ pada 7 Mac lalu.

Kesemuanya, termasuk tujuh perempuan, meminta dibicarakan dan Kalairasi menetapkan 19 April untuk sebutan kes, kata laporan itu lagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kalairasi menetapkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Perobohan itu melibatkan 19 rumah tetapi MAINPP menegaskan pihaknya telah memberi notis yang memadai bagi penduduk berpindah.

Presiden MAINPP Abdul Malik Kassim berkata tanah wakaf itu bakal dibina projek perumahan yang dapat menjana pendapatan kepada majlis itu dan memberi manfaat kepada komuniti Muslim.

Penduduk juga ditawarkan rumah sebagai gantian di situ, pembayaran bulanan RM500 untuk sewa bagi rumah sementara mereka, dan bayaran pemindahan sebanyak RM4,000 dan RM3,500 kita mereka berpindah semula ke unit baru di situ.

Lihat Komen
ADS