BERITA

Adun BN minta PAS buka semula panggung wayang

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Mac 2019, 9:03 pagi

DUN KELANTAN l Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan meminta kerajaan negeri pimpinan PAS membenarkan panggung wayang dibuka dan beroperasi semula di negeri ini setelah hampir 30 tahun diarah tutup oleh kerajaan negeri.

Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) berkata kerajaan negeri boleh membuka panggung wayang berkonsepkan patuh syariah yang dikawal sepenuhnya.

"Ketika ini rakyat Kelantan yang mahu menonton filem perlu ke Terengganu, negeri paling dekat yang mempunyai panggung wayang.

"Kalau Terengganu membenarkan perkara itu (membuka panggung wayang) saya ingin mencadangkan agar panggung wayang di negeri ini dibuka semula ," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.

Kali terakhir Kelantan mempunyai panggung wayang ialah sebelum PAS mengambil alih negeri ini daripada BN pada 1990 iaitu Panggung Lido yang terletak di Jalan Post Office Lama di Kota Bharu.

Mohd Syahbuddin berkata ada ulama yang berpandangan adalah tidak salah untuk menonton filem asalkan filem yang ditonton itu memberikan kebaikan untuk penontonnya.

Selain itu beliau turut meminta kerajaan negeri supaya memperjelaskan tentang berapa banyak kamera litar tertutup (CCTV) yang telah dipasang di beberapa bandar utama di negeri ini.

"Kalau dapat jelaskan sudah berapa banyak CCTV ini dipasang terutamanya di lokasi panas yang sering berlakunya jenayah," katanya.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.