Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
6 marina, termasuk di Pulau Mentagor akan diswasta - MOT
Diterbitkan:  Mar 19, 2019 9:03 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk menswastakan pengurusan enam marina awam bermasalah termasuk di Pulau Mentagor yang kini dikendalikan oleh Jabatan Laut Malaysia.

Timbalan Menterinya Datuk Kamaruddin Jaafar berkata kertas cadangan penswastaan itu telah dihantar kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) beberapa bulan lalu.

Lima marina lain ialah di Batu Uban (Pulau Pinang), Pulau Indah (Selangor), Melaka, Pulau Tioman dan Kuching, katanya pada sidang media selepas pelancaran Seasecure 2019, di Petaling Jaya hari ini.

Mengenai marina Pulau Mentagor di Perak, Kamaruddin berkata kementerian cuba bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengoperasikan marina berkenaan namun mereka memutuskan untuk tidak mengendalikan marina itu kerana kekangan kewangan.

“Jadi kami ambil keputusan untuk membukanya kepada penswastaan,” katanya.

Isu marina di Pulau Mentagor dibangkitkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mahu Kementerian Pengangkutan menyiasat pemaju YTL Corporation Berhad berhubung kegagalan marina berkenaan yang siap pada Julai 2007 beroperasi.

PAC dilaporkan antara lain mempertikaikan keputusan YTL membangunkan marina di atas pulau yang tidak berpenghuni sedangkan kerajaan persekutuan pada asalnya mahu sebuah marina dibina di Lumut.

Bagaimanapun, YTL dalam kenyataan balasnya dilaporkan berkata tiada asas untuknya bertanggungjawab atas projek bernilai RM24.27 juta tersebut memandangkan pembabitan syarikat berakhir pada 2009 selepas kerajaan Perak menyatakan minat untuk mengendalikan marina berkenaan.

Mengulas isu lain, Kamaruddin berkata kementerian akan meneliti sama ada tindakan syarikat e-panggilan Grab mengenakan caj RM3 hingga RM5 kepada pelanggan yang membatalkan tempahan selaras dengan undang-undang.

”Jika keputusan itu melanggar peraturan, kementerian akan mengambil tindakan," katanya

- Bernama

Lihat Komen
ADS