Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ADUN cadang S'gor jadi pengeluar ganja terbesar di dunia
Diterbitkan:  Mar 20, 2019 6:05 PM
Dikemaskini: 12:16 PM

Seorang wakil rakyat Bersatu hari ini memohon kerajaan Selangor mempertimbangkan cadangan bagi melaksanakan penanaman ganja.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata negeri itu berpotensi menjadi pengeluar terbesar ganja di seluruh dunia, lapor Malay Mail.

"Izinkan saya memberi contoh. Anda boleh mendapat RM3,000 seekar dalam setahun untuk minyak sawit.

“Tetapi ganja boleh membawa hasil pulangan sehingga RM9 juta setahun ... satu ekar dengan tiga kali ganda jumlah hasil akan dikeluarkan setahun.

"Dan sekiranya Selangor dapat mengusahakan lebih daripada 100 ekar, kita akan jadi pengeluar terbesar di negara ini yang turut memberi pulangan lumayan, " Mohd Shaid dipetik sebagai berkata.

Pokok ganja

Kenyataannya itu disambut gelak tawa daripada Adun yang lain.

Beliau berkata penanaman untuk tujuan penyelidikan dan eksport perubatan sesuai dibuat di Kuala Selangor yang dirancang sebagai kawasan pertanian.

Mohd Shaid Rosli berkata, Akta Dadah Merbahaya 1952 telah menyatakan bahawa mana-mana jabatan kerajaan boleh membuat penanaman ganja bagi tujuan perubatan.

Bagaimanapun, cadangan Adun Jeram itu disanggah Adun Ijok, Dr Idris Ahmad dengan menyatakan apa yang dikemukakan Mohd Shaid akan menyukarkan soal penguatkuasaan dalam isu tersebut.

"Mengikut sejarah, ganja digunakan sebagai ubat tetapi ia telah disalahgunakan, seperti candu dan morfin. Ini adalah ubat berbahaya yang mesti dikawal.

"Dan saya juga seorang doktor yang mana saya tahu masalah mengenai ubat terkawal ini yang memerlukan penguatkuasaan yang sangat baik," kata pakar perubatan itu.

Mengakui perkara itu, Mohd Shaid berkata lokasi bagi penanaman dan pemprosesan juga dicadangkan dilaksanakan di satu kawasan dan hanya boleh diakses oleh pihak tertentu sahaja.

"Jangan risau mengenai pasaran gelap dan sebagainya kerana kita perlu ketatkan sistem agar tidak berlaku ketirisan serta penagihan di kalangan masyarakat," katanya.

Lihat Komen
ADS