Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemalangan maut: Pihak Lapangan Terbang Subang cuai - Vincent Tan
Diterbitkan:  Mar 21, 2019 11:29 PM
Dikemaskini: 6:13 PM

Pihak berkuasa lapangan terbang Subang harus dipersalahkan kerana kecuaian dalam kejadian yang menyaksikan seorang pekerja meninggal dunia selepas berlaku pelanggaran di atas landasan dengan jet syarikatnya, kata hartawan Vincent Tan.

Malay Mail memetik pengerusi eksekutif Berjaya Group yang mengesahkan pesawat Berjaya Air terlibat dalam kemalangan pada Isnin lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata serangan yang dibuat terhadap syarikat penerbangan itu dan krunya berikutan kejadian kemalangan tersebut tidak berasas serta tidak benar.

Dalam kejadian pada Isnin lepas, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, sedang memandu kenderaan kejuruteraan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang ketika terlibat dalam kemalangan di atas landasan dengan pesawat persendirian sekitar jam 3.20 pagi.

Mohd Ruzaimi meninggal dunia akibat kecederaan pada malam Selasa lalu, meninggalkan seorang balu, dan empat orang cahaya mata berumur antara satu ke 13 tahun.

Tan menegaskan juruterbang syarikat penerbangan itu telah mematuhi semua prosedur operasi penerbangan dan pendaratan, serta mendapat kelulusan dari menara kawalan lapangan terbang, sebelum turun.

"Sebenarnya, jika halangan pada landasan bukan sebuah kenderaan penyelenggaraan yang kecil, tetapi (katakan) sebuah trak atau peralatan berat lain, (maka) ia dapat mengakibatkan bencana besar.

"Keseluruhan pesawat, anak kapal dan penumpang mungkin telah musnah dalam kemalangan itu," kata Tan yang dipetik berkata dalam laporan akhbar itu.

Jelas Tan lagi pihak berkuasa lapangan terbang sepatutnya memberi amaran yang mencukupi kepada pesawat masuk mengenai kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan di landasan.

"Tiada amaran sedemikian diberikan dan pada pandangan saya, pihak berkuasa lapangan terbang cuai," katanya

Ahli perniagaan itu juga menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM50,000 kepada balu allahyarham Mohd Ruzaimi.

Menurut Malay Mail, Berjaya Air, dalam kenyataan berasingan, juga mengatakan penerbangan yang terlibat telah mengikuti pelan penerbangan yang diluluskan sebelum pendaratan dibuat.

"Tiada NOTAM (Notis kepada Airmen) dikeluarkan untuk menasihatkan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan (masih berlangsung) sedang dijalankan di landasan di Lapangan Terbang Subang.

"Kebenaran mendarat diminta oleh juruterbang dan Menara di Lapangan Terbang Subang memberi kelulusan untuk mendarat. Tidak ada suar atau lampu amaran supaya kru waspada dengan kehadiran pekerja penyelenggaraan atau halangan lain di landasan," kata syarikat penerbangan swasta itu.

Berjaya Air berkata perlanggaran berlaku ketika pesawat itu menyahpecutkan dan telah menyentuh landasan.

Syarikat penerbangan itu juga mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian tersebut dan menyerahkan kepada pihak berkuasa menyelesaikan siasatan terhadap kes ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini berkata siasatan ke atas insiden itu dijangka disiapkan dalam masa 30 hari.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS