Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Membongkar modus operandi penyeludupan alkohol, rokok

Penyeludupan rokok dan minuman keras bukan sesuatu baru di negara ini. Walaupun pihak berkuasa mengetatkan undang-undang dan mengawal pintu masuk negara, kegiatan ini seolah-olah tidak mampu ditumpaskan.

Ketika kerajaan rugi beratus-ratus juta, muncul pula modus operandi baru, yang dikatakan melibatkan 'bantuan' pegawai-pegawai tertinggi dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pihak kastam bagaimanapun menafikan keras dakwaan ini.

Sumber yang mengetahui berkaitan penyeludupan itu memberitahu Malaysiakini, modus operandi baru ini melibatkan JKDM dengan pendaftaran syarikat baru untuk mendapatkan lesen import baru.

"Individu-individu yang terlibat dengan penyeludupan ini bersuhabat dengan beberapa pegawai tertinggi kastam dengan mengeluarkan lesen import baru," dakwanya.

Tambahnya, kini terdapat hampir 500 permohonan baru untuk lesen rokok dan minuman keras dalam proses untuk mendapatkan lesen import baru.

Nilai puluhan juta ringgit

"Banyak syarikat baru yang tidak mempunyai sebarang modal yang mencukupi dan hanya diwujudkan pada nama sahaja tanpa premis yang beroperasi secara sah boleh mengimport rokok dan minuman keras dengan nilai puluhan juta ringgit.

"Selepas mendapat lesen, syarikat-syarikat ini menyeludup rokok dan minuman keras dari luar negara ke zon bebas negara kita kononnya akan diimport ke negara lain.

“Tetapi, barang itu diseludup masuk ke pasaran kita tanpa membayar sebarang duti dengan 'bantuan' beberapa pegawai kastam.

"Selepas membuat keuntungan puluhan jutaan ringgit, syarikat-syarikat ini akan hilang sekelip mata dan kembali semula dengan nama pengarah serta entiti lain.

“Syarikat seperti ini akan berterusan bermaharajalela melakukan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras," dakwanya lagi.

Katanya, modus operandi baru ini popular di kalangan penyeludup selepas pindaan akta kastam dan eksais.

"Modus operandi ini diamalkan sejak tahun dua tahun yang lalu, selepas Perintah Larangan Import 1988 dipinda pada tahun 2017,” katanya.

Mulai 1 April 2017, kerajaan menguatkuasakan pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 iaitu pengimport perlu mengemukakan lesen import semasa membuat pengisytiharan kepada kastam.

Untuk rekod, pindaan tersebut digubal untuk menangani modus operandi sindiket penyeludupan dari zon bebas cukai dengan membawa masuk barangan ke dalam zon bebas sebelum dibawa keluar tanpa proses kelulusan kastam.

Perintah Kastam ini mensyaratkan barangan seperti rokok dan minuman keras tertakluk kepada lesen import semasa pengimportan ke dalam negara atau semasa persinggahan barangan berkenaan.

Malaysiakini turut melihat beberapa dokumen yang ditunjukkan oleh sumber tersebut sebagai buktinya.

Menurut dokumen-dokumen itu, ada individu membuat sehingga 20 permohonan baru bagi lesen import.

'Ada dapat kelulusan hingga 2.3 juta hecto liter'

Terdapat juga sebuah syarikat baru yang diberikan kelulusan import minuman keras dengan jumlah 2.3 juta hecto liter.

Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding syarikat-syarikat yang lama berkecimpung dalam perniagaan ini.

Lebih mengejutkan, syarikat-syarikat yang kukuh dan telah beroperasi selama 25 tahun dengan membayar duti cukai minuman keras sebanyak berbilion ringgit hanya diberikan kelulusan lesen import selama tiga bulan sahaja.

Bagaimanapun syarikat yang tidak pernah membayar duti cukai minuman keras mendapat kelulusan lesen import selama satu tahun dan enam bulan dengan mudah sahaja, dakwa sumber.

"Jadi di manakah ketelusan pihak kastam dalam memberikan lesen import rokok dan minuman keras?" soal sumber itu yang enggan mendedahkan identitinya.

Syarikat masih diberi lesen

"Setiap permohonan baru lesen import dikenakan 'bayaran kawtim' sebanyak RM30,000 sehingga RM50,000 untuk pegawai kastam negeri menyokong permohonan untuk kelulusan.

"Apa yang lebih menyedihkan lagi syarikat pengimport yang melakukan kesalahan dan terbukti melakukan kesalahan serta melibatkan kes mahkamah masih diberikan lesen import rokok dan minuman keras," tambahnya lagi.

Sementara itu, sumber itu meminta Kementerian Kewangan perlu bertindak segera menyiasat dan hentikan penyeludupan ini.

"Pemberian lesen import secara membuta tuli ini perlu dihentikan segera oleh pihak kastam untuk mengelakkan negara terus kehilangan hasil negara," tegasnya lagi.

Kastam nafi bersubahat

Dihubungi kemudian, pemangku ketua pengarah Paddy Abd Halim menafikan bahawa jabatan kastam bersubahat.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan-tuduhan ini. Ia cuma tohmahan sahaja," katanya.

"Tuduhan memberi lesen secara membuta tuli tidak timbul.

"Kami (JKDM) mempunyai panel bagi meluluskan permohonan lesen import yang baru. Kami akan meneliti setiap dokumen dan latar belakang syarikat yang membuat permohonan.

“Tidak mungkin memberikan lesen kepada syarikat-syarikat yang tidak berkemampuan seperti didakwa," tambah beliau.

Lihat Komen
ADS