Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Pemuda yang bersila di sebelah saya tersengguk lagi. Terjaga, dia tiba-tiba menadah tangan kononnya untuk berdoa walaupun khatib masih membaca khutbah. Tersedar akan hal itu, dia kemudian menggeliatkan badan dan meletupkan jarinya.

Saya menoleh ke sekeliling. Ramai juga jemaah lain yang lentok leher dan tumbang tubuh. Sekurang-kurangnya pemuda di sebelah saya berjuang juga untuk melawan kantuknya.

Sembahyang Jumaat - satu-satunya waktu sembahyang yang berjaya menghimpunkan sebegitu ramai umat Islam di masjid setiap minggu, hanya untuk menjadi waktu tidur kebanyakan kita.

Kenapa ramai yang 'tumpas' semasa khutbah Jumaat? Didorong soalan ini, saya membelek teks khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) - dan dibacakan di masjid Wilayah Persekutuan - dari 2 November 2018 sehingga 1 Mac 2019.

Berikut adalah senarai sebahagian tajuk:

  • 4 Jan : Jauhi sengketa bahagia bersama
  • 11 Jan : Pelihara nyawa, hargai jiwa
  • 18 Jan : Masjid berdaya, ummah sejahtera
  • 25 Jan : Keluarga teratur, negara makmur
  • 1 Feb : Raja didaulat negara dimartabat
  • 8 Feb : Wilayah ceria rakyat sejahtera
  • 15 Feb : Masa: peliharalah
  • 22 Feb : Perangi dadah tanggungjawab bersama
  • 1 Mac : Kelestarian alam amanah Allah

(Pembaca yang berminat boleh membaca teks khutbah Jawi di sini manakala teks khutbah Jais di sini)

Saya meneliti 18 teks khutbah dan mengkelaskannya kepada lima kategori: tidur nyenyak (lemah), tersengguk (lemah ke sederhana), mengantuk (sederhana), dengar tetapi tak fokus (sederhana ke baik), mendengar dengan tekun (baik).

Berikut pengkelasan berdasarkan penilaian peribadi saya (yang biasanya tidak tidur ketika khutbah):

Kelas tidur nyenyak sebanyak lima khutbah, tersengguk (4), mengantuk (6), dengar tapi tak fokus (2) dan dengar dengan tekun (1).

Saya mendapati ada dua sebab utama menyebabkan khutbah Jumaat lebih banyak membuatkan jemaah mengantuk berbanding berfikir, iaitu cara teks ditulis dan cara teks dibaca.

Ayat berulang, mesej superfisial

Teksnya ditulis dengan retorik melampau dan lampung. Ayatnya lewah dan banyak mengulang mesej yang baru saja disebut di awal khutbah.

Lihat saja dua petikan ini daripada khutbah 4 Januari berjudul “Jauhi Sengketa Bahagia Bersama”:

“Dengan pelbagai bangsa dan agama, setiap anggota masyarakat berperanan penting bagi memastikan perpaduan dapat dicapai. Setiap anggota masyarakat perlu meraikan aspek-aspek perbezaan yang wujud. Perkara-perkara seperti adat, ritual dan kepercayaan perlu difahami dengan baik dan dihormati. Masyarakat yang harmoni hanya dapat dilahirkan jika kita memahami antara satu sama lain tanpa wujud prasangka atau perselisihan yang boleh menimbulkan konflik atau sengketa.”

Empat ayat dalam perenggan ini bertele-tele dan boleh diringkaskan. Apa gunanya membazir empat ayat sedangkan setiap satunya membawa maksud yang hampir sama saja.

“Taaruf iaitu saling berkenalan. Kepelbagaian kaum dan etnik di negara ini menuntut setiap anggota masyarakat untuk saling kenal mengenali... Fahamilah perbezaan nilai, maka akan wujud persefahaman, hormat-menghormati, kerjasama dan bertolak ansur”.

Saranannya terlalu superfisial. Persoalan yang timbul di kepala ialah apa cadangan agar ia dapat dilakukan jemaah? Tiada penjelasan.

 Jika khutbah minggu ini mahu menyentuh topik berhenti rokok, pasti teksnya penuh dengan saranan "anda perlu ada keazaman yang kuat" dan "anda perlu sabar" dan akan diulang di setiap perenggan.

Ada kala sulit untuk memahami mengapa teks khutbah tidak menggunakan ayat pendek dan ringkas. Dan lebih penting, mengapa tidak sudi memberi saranan yang lebih jujur?

Izinkan saya menyunting teks khutbah di atas. Saranan seperti "ajak jiran Cina makan di rumah agar mereka dapat lihat cara kita sediakan makanan halal" dan "ajak jiran India berkelah di pantai agar mereka dapat lihat kepentingan aurat bagi kita" pastinya lebih mudah difahami pendengar.

Pada masa tertentu ada juga khutbah yang menarik. Khutbah 30 November berjudul “Kanak-kanak harapan negara” menyentuh tiga tahap pendidikan kanak-kanak menurut Nabi Muhammad, dan kaedah yang digariskan Dr Abdullah Nasih 'Ulwan. Tetapi ia disentuh secara umum, walhal khatib boleh saja memberi contoh sendiri yang pasti dapat mencangkuk telinga kalangan bapa dalam jemaah.

Khutbah paling memancing perhatian pada 23 November, judulnya “Mengembalikan hak Palestin”. Teksnya bermain dengan emosi, sedap dibaca dan pastinya lebih sedap didengar.

Sayang sekali hanya sedikit khutbah yang ditulis begitu.

Kelemahan itu diakui Rohaily @ Abd Rahman Abd Hamid dalam kajiannya ("Teks khutbah Jumaat Jawi : kajian tentang metode dan cabaran penyediaannya", 2012, Universiti Malaya) yang berpendapat teks perlu menggunakan bahasa mudah dan dekat dengan pendengar, bukan ayat meleret, dan perkataan sukar difahami.

Dia menyarankan agar teks lebih bermain dengan perasaan seperti sedih, semangat dan insaf, bersama-sama fakta ilmiah dan dalil meyakinkan, serta membentangkan panduan atau penyelesaian berkaitan topik yang dibawa.

Tazkirah lebih menarik 

Ini membawa kepada kelemahan kedua - dan bagi saya terbesar - iaitu cara teks dibaca.

Setiap kali melihat khatib membaca khutbah, saya merasa kasihan melihatnya seolah-olah dipaksa membaca teks itu, kata demi kata.

Dia selalunya kedengaran terkekang dan terkongkong, sehingga jemaah rimas mendengar khutbah dalam satu nada dan dipenuhi ayat berulang-ulang, sehingga bersimpul menjadi gumpalan yang masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Itu belum lagi dikira khatib yang 'tersadung' akibat sulit membaca teks jawi. Bila ia berlaku, saya mula risau dan mendoakan dia berjaya menghabiskan khutbah sehingga perkataan terakhir.

 Setiap khatib pastinya ada cara bercakap sendiri. Jika mereka diberi ruang menggunakan lenggok bahasa sendiri, pastinya mereka akan lebih selesa dan dapat menyampaikan khutbah dengan lebih berkesan, serta menzahirkan perasaan seperti cadangan Rohaily.

Anda pasti pernah mendengar tazkirah yang disampaikan khatib sebelum masuk Zuhur. Ia kedengaran lebih menarik berbanding khutbah yang merupakan rukun dalam sembahyang Jumaat.

Tetapi masuk saja Zuhur, khatib yang sama itu naik ke mimbar dan nadanya berubah. Mengapa?

Mungkin penulisan khutbah perlu diubah dengan menggunakan ayat lebih ringkas dan khatib diberi kebebasan untuk membaca dengan gaya sendiri. Lagipun, khatib bukanlah orang yang asing dalam memberi ceramah agama.

Dengan itu, kandungan khutbah masih boleh dikawal oleh jabatan agama namun dalam masa sama ia tidak menjadikan khatib seperti robot pembaca khutbah semata-mata.

Tiada Kim Kim, Christchurch

Saya akui khutbah ada skop yang luas. Apa saja isu boleh diketengahkan.

Pada zaman Nabi Muhammad, khutbah menjadi medium penerangan pengajaran Islam, penyebaran dakwah, menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran, jihad, kenegaraan serta pengaturan sosiobudaya kehidupan masyarakat muslim.

Menurut laman web rasmi pejabat mufti Wilayah Persetukutuan, khutbah Jumaat berfungsi sebagai medium yang "hendaklah berkisar sekitar pandangan Islam terhadap isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam atau apa-apa isu yang relevan kepada masyarakat".

Jadi bagi saya alangkah baik jika khutbah Jumaat lebih kerap membawa isu yang dekat dengan rakyat, misalnya kejadian yang terjadi dalam minggu tersebut.

Saya tidak mendengar isu pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, diangkat dalam khutbah Jumaat sepanjang dua minggu lalu (sekurang-kurangnya di masjid yang saya pergi).

Jumaat lalu pula, hanya sedikit khatib - termasuk Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad - yang membangkitkan tragedi di Christchurch dalam khutbah mereka.

Barangkali tragedi itu berlaku tidak lama sebelum itu dan mereka belum tahu tentangnya.

Sayang sekali kerana jemaah pasti berminat mendengar pandangan khatib mengenai kejadian besar itu. Hari ini genap seminggu tragedi itu, apakah kita akan mendengarnya dalam khutbah nanti?

Di Wilayah Persekutuan, khutbah semakin meninggalkan nada provokasi terhadap kaum dan agama lain di negara ini. Saya tidak pasti dengan tempat lain.

Soalan akhir saya - bagaimana khutbah dapat menjadikan pendengarnya seorang Muslim dan ahli masyarakat yang lebih baik di negara berbilang kaum ini?

Seperti yang dinyatakan di atas, saya tidak menganggap khutbah perlu sentiasa membawa hal-hal besar jika ada perkara kecil yang lebih penting dan mengesankan.

Misalnya jika bercerita tentang salah guna kuasa dan rasuah, jemaah tidak akan ingat Indeks Persepsi Rasuah atau apa-apa statistik yang disediakan teks.

Cukuplah jika khatib boleh memahamkan jemaah - dalam masa 20 minit khutbah dibacakan - bahawa Islam melarang kita menggunakan pencetak di pejabat untuk kegunaan peribadi, atau membawa balik pen untuk dibawa anak ke sekolah.

Kegagalan struktur besar selalunya bermula dengan retak kecil. Tiada guna berkhutbah bagai guruh untuk membaiki budaya, tanpa terlebih dulu membaiki manusia.


M FAKHRULL HALIM ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen
ADS