Pembangkang: Rombakan kabinet tiada impak
Pergerakan Pemuda PAS berpendapat rombakan kabinet yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini tidak menggambarkan hasrat beliau untuk membanteras gejala rasuah hingga ke peringkat akar umbi.
Pergerakan Pemuda PAS berpendapat rombakan kabinet yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini tidak menggambarkan hasrat beliau untuk membanteras gejala rasuah hingga ke peringkat akar umbi.
Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, Perdana Menteri terus mengekalkan tokoh-tokoh yang mempunyai masalah seperti Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Seri Samy Vellu dan beberapa orang yang lain, sedangkan sebelum ini terbukti mereka gagal menangani beberapa isu nasional membabitkan kementerian masing-masing dan kepentingan rakyat.
" Rombakan ini tidak menggambarkan slogan Pak Lah yang mahu memerangi rasuah hingga ke akar umbi. Menteri-menteri yang sudah lama dikenalpasti bermasalah tidak digugurkan.
" Perubahan yang dibuat terlalu kecil, tidak menyakinkan langsung," tegasnya ketika dihubungi.
Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Krian berkata, rombakan kabinet ini tidak memberi impak besar kepada pentadbiran negara.
Sebaliknya menurut beliau, tindakan Perdana Menteri mengekalkan menteri-menteri lama yang bermasalah akan terus menjejaskan kredibiliti kerajaan dan negara.
Muka baru
Naib-Presiden Parti Keadilan Nasional (PKR) Azmin Ali pula menyifatkan rombakan yang dibuat oleh Abdullah itu amat mengecewakan.
" Sebagai seorang wareganegara saya mengharapkan Abdullah mempunyai keberanian untuk membuat perubahan besar dalam kabinetnya.
"Rombakan ini sudah lama ditunggu-tunggu oleh rakyat tetapi ternyata ia amat mengecewakan,"tambahnya.
Menurut Azmin lagi, apa yang diumumkan hanya pertukaran yang amat kecil di kalangan menteri dan kementerian.
" Nampak tidak ada kesungguhan untuk membersihkan kabinet,"ujarnya.
Beliau juga menekankan, tiada muka baru dari kalangan generasi muda dibimbing menyertai rombakan kabinet kali ini.
Menurutnya lagi, paling mengecewakan ialah Perdana Menteri bukan sahaja mengekalkan muka-muka lama yang tidak mempunyai rekod yang baik tetapi menaikkan pangkat mereka.

